NAJWA Halimah (dua dari kiri) bersama penerima bantuan selepas Program Back To School Tekun Nasional di Mydin Seremban 2. FOTO MOHD AMIN JALIL.
NAJWA Halimah (dua dari kiri) bersama penerima bantuan selepas Program Back To School Tekun Nasional di Mydin Seremban 2. FOTO MOHD AMIN JALIL.
BERNAMA

TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion kepada 440,012 orang usahawan kecil dan sederhana di seluruh negara bagi tempoh 1998 hingga November 2019.

Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Najwa Halimah Ab Alim berkata, dalam tempoh sama, seramai 578,459 usahawan kecil dan sederhana menerima pembiayaan ulangan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa apabila seseorang usahawan itu membuat pinjaman (pembiayaan) dan membayar balik pinjaman secara konsisten, kita akan memberi pinjaman ulangan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Maksimum pinjaman ialah RM100,000 untuk sekali pinjam dan minimum RM1,000.

“Kita bercadang menaikkan kadar maksimum pinjaman ini kepada RM200,000 dan perkara ini sedang diteliti. Kita sudah bincang perkara ini dengan ahli lembaga pengarah, tetapi belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Back To School peringkat Negeri Sembilan anjuran Tekun Nasional di sini.

Najwa Halimah berkata, setakat November lalu, Tekun Nasional menerima bayaran balik pinjaman sebanyak RM449 juta.

“Ini bermakna kita telah mencapai 90 peratus bayaran balik pinjaman ini. Prestasi kewangan kita pada tahun ini meningkat. Alhamdulillah, ada untung lebih sikit sebabnya kita punya pungutan (bayaran balik pinjaman) dan pembiayaan (pinjaman) banyak kita dapat pada tahun ini.

“Walaupun banyak kita keluar (pembiayaan) tapi dalam masa yang sama banyak juga bayaran masuk (bayaran balik pinjaman) yang kita dapat pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan kempen ‘Jom Jejak Usahawan’ di seluruh negara bagi mengenal pasti usahawan yang benar-benar menjalankan perniagaan mereka dengan lokasi seterusnya adalah di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Menerusi kempen ini, kita ingin mendidik usahawan mengenai ilmu perniagaan seperti mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyediakan penyata kewangan, kaedah pemasaran, penyediaan akaun yang betul dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Najwa Halimah berkata pada tahun ini Tekun Nasional telah menyalurkan sumbangan zakat perniagaan melalui pelaksanaan program ‘Back To School’ kepada 4,900 orang anak-anak asnaf di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM514,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:02 AM