AAISAH (kiri) menerima anugerah Usahawan Berjaya Tekun Nasional daripada Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Najwah melalui Program Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional. FOTO Adnan Ibrahim
AAISAH (kiri) menerima anugerah Usahawan Berjaya Tekun Nasional daripada Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Najwah melalui Program Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


USAHA Aaisah Mohamed, 54, yang membuat lima pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sepanjang 15 tahun ini berbaloi kerana bukan saja perniagaan nasi lemaknya semakin berkembang malah dianugerahi Usahawan Berjaya Tekun Nasional.

Menurut Aaisah, dia menjual nasi lemak sejak 30 tahun lalu dan bagi mengembangkan perniagaan, dia membuat pinjaman daripada TEKUN Nasional.

“Saya manfaatkan setiap pinjaman untuk mempelbagaikan jualan dan menaik taraf kedai bagi menarik kehadiran lebih ramai pelanggan.

“Syukur, usaha ini berjaya malah anugerah yang saya terima ini tidak akan melalaikan saya untuk berusaha lebih keras bagi mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Aaishah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah Usahawan Berjaya Tekun Nasional disampaikan Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional Najwah Halimah Ab Halim melalui Program Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional di Johor Bharu hari ini.

Berkaitan perniagaan, Aaishah yang berniaga di Pusat Perniagaan Taman Dahlia di sini berkata,

dia memulakan perniagaan seawal jam 2 pagi hingga jam 12 tengah hari setiap hari.

“Pelanggan paling ramai berkunjung pada cuti hujung minggu atau cuti am.

“Bagi hari berkenaan, kuantiti makanan akan ditambah bagi memastikan semua pelanggan dapat menikmati nasi lemak berlauk kami,” katanya.

Sementara itu, Najwah Halimah berkata, Jom Jejak Usahawan Tekun Nasional Negeri Johor 2020 dianjurkan bagi memberi penerangan berkaitan perniagaan kepada bakal usahawan dan usahawan.

“Selain itu, ia bagi membantu meningkatkan mutu serta mengembangkan rangkaian perniagaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 3:25 PM