AMIRUDDIN. FOTO  Azhar Ramli
AMIRUDDIN. FOTO Azhar Ramli
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pelbagai sudut dalam kewangan Islam termasuk wakaf dan zakat yang boleh dimanfaatkan bagi merealisasikan perumahan yang lebih berpatutan khususnya bagi golongan miskin.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sebuah negeri di wilayah utara juga sedang mengendalikan skim perumahan wakaf untuk kalangan penduduk terbabit.

“Kita mempunyai satu model yang berjaya dan sedang meneliti bagaimana wang zakat dapat digunakan sebagai deposit dan (bayaran) wang pendahuluan.

“Adalah diharapkan menerusi cara ini, apa yang sebelum ini tidak mampu dimiliki, kini sebaliknya mungkin menjadi lebih berpatutan untuk mereka,” katanya pada Persidangan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan Islam Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Datuk Azmi Omar berkata, masih terdapat banyak tanah-tanah wakaf yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan perumahan mampu milik.

“Jika mekanisme ini dapat dilaksanakan, kos bagi membangunkan perumahan terbabit dapat dikurangkan kerana membabitkan tanah wakaf.

“Bagaimanapun, perumahan itu akan diletakkan dalam tempoh sewaan lebih panjang yang dibenarkan di bawah wakaf,” katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata rangka kerja perbankan digital yang akan siap menjelang akhir tahun ini dijangka dapat melonjakkan negara dalam landskap perbankan digital.

“Sebagai peneraju dalam perbankan Islam, Malaysia perlu mengikuti inisiatif yang dilaksanakan seiring dengan pendigitalan sektor perbankan Islam bagi manfaat masyarakat,” katanya.

Mengulas isu kontrak pembekalan fleet perkhidmatan kenderaan kerajaan, beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Laporan sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh syarikat dijangka mengemukakan bidaan bagi kontrak lumayan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:54 AM