LIM (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan F&N, Lai Kah Shen menunjuikkan produk baru keluaran F&N.
LIM (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan F&N, Lai Kah Shen menunjuikkan produk baru keluaran F&N.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Fraser dan Neave Holdings Bhd (F&N) optimis untuk terus mengekalkan pertumbuhan kumpulan dengan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM450 juta bagi tahun kewangan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, peruntukan itu meningkat RM30 juta berbanding capex tahun kewangan 2019.

Katanya, daripada jumlah capex terbabit, RM156 juta diperuntukkan bagi pembelian ladang di Chuping.

“Selain itu, sebahagian capex digunakan untuk gudang bersepadu di Shah Alam iaitu RM180 juta.

“Selebihnya untuk pelaburan operasi di Thailand dan lain-lain,” katanya kepada media selepas sesi taklimat keputusan kewangan 2019 F&N di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan F&N Dairies (Thailand), Khun Suchit Riewcharoon.

F&N mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019 kepada RM410.26 juta berbanding RM386.55 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Manakala perolehan meningkat kepada RM4.08 bilion daripada RM3.87 bilion.

Lim berkata, kumpulan juga bercadang melabur RM650 juta bagi pelaksanaan fasa pertama ladang tenusu bersepadu sebagai sebahagian daripada matlamat strategik F&N menjadi pengeluar produk minuman menyeluruh dan tenusu terkemuka di Asean.

“Pada masa ini kami dalam proses pembelian tanah seluas 4,454 hektar di Ladang Chuping, Perlis dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

“Apabila siap sepenuhnya, projek ini sedia menyumbang kepada agenda jaminan bekalan makanan negara dengan membekalkan 200 juta liter susu segar dan sehingga 5,000 ternakan setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:39 AM