Pengurusan kanan F&N selepas AGM ke-61.
Pengurusan kanan F&N selepas AGM ke-61.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan persekitaran perniagaan bagi 2023 kekal mencabar seperti tahun lepas berikutan kenaikan harga bahan mentah, ketidakpastian rantaian bekalan global serta risiko kemelesetan yang boleh menjejaskan keseluruhan landskap komoditi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata kumpulan itu bagaimanapun akan terus mengukuhkan langkah pengurusan kos terbabit susulan jangkaan inflasi bagi barangan komoditi serta bahan mentah.

Ini juga sebagai menghadapi impak berterusan daripada pandemik Covid-19 seperti gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.

Namun, beliau menegaskan bahawa usaha itu tidak akan menjejaskan tumpuan terhadap pembangunan perniagaan, terutama dalam memanfaatkan sinergi yang dibawa oleh perniagaan Cocoaland Holdings Bhd dan Ladang Permai Damai Sdn Bhd ke dalam kumpulan tersebut.

Lim berkata, F&N juga terbukti berjaya mengemudi 2022 untuk kekal berdaya tahan dan mempunyai alasan untuk terus optimis terhadap potensi tahun kewangan 2023 (TK2023).

"Jika dilihat, prestasi keseluruhan kami bagi TK2022, terutama dalam suku keempat ternyata sudah memadai sebagai asas untuk kekal optimis.

"Dalam suku keempat, kami mampu menyaksikan keadaan margin yang lebih baik yang didorong oleh pelaksanaan strategi berkesan bagi menangani pasaran yang mencabar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-61 kumpulan itu di sini, hari ini.

Lim berkata F&N juga mulai melihat kesan daripada tumpuan terhadap strategi jangka panjang bagi pertumbuhan serta kecekapannya.

"Kami berupaya melaluinya dengan menyelesaikan pelan pengambilalihan dan perbelanjaan modal (capex) pada 2022. Pelaburan yang telah kami lakukan pada tahun-tahun sebelumnya kini membuahkan hasil," katanya.

Lim turut merujuk beberapa projek capex yang siap, termasuk gudang bersepadu dan sistem solar fotovoltan yang terbukti menyumbang kepada kecekapan kos serta penjimatan dalam TK2022.

Sementara itu, Pengerusi F&N Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata kumpulan itu telah memasuki era baharu yang menarik apabila turut berkembang ke dalam sektor baharu seperti penternakan tenusu, kuih-muih dan produk makanan halal.

"Selepas terpaksa mengharungi cabaran bagi beberapa tahun lepas, pasukan kami kini lebih bersatu dan kukuh. Saya berbangga dengan tenaga kerja yang memaparkan ketahanan dalam berdepan pelbagai cabaran domestik serta global," katanya.

Dalam pada itu, pemegang saham di AGM itu meluluskan pembayaran dividen satu peringkat akhir sebanyak 33 sen sesaham dan menjadikan jumlah dividen kepada 60 sen sesaham bagi TK2022 yang akan dibayar pada 10 Februari 2023.

Tarikh kelayakan bagi dividen itu adalah pada 20 Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 5:23 PM