Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), memperuntukkan kira-kira RM700 juta ke RM800 juta perbelanjaan modalnya (Capex) bagi tahun kewangan 2023 terutama untuk melaksanakan strategi meningkatkan pengeluaran hiliran dan pengedaran susu segarnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, capex itu juga akan diperuntukkan bagi projek ladang tenusu di Gemas, Negeri Sembilan.

Katanya, dengan selesainya pemerolehan Ladang Permai Damai, F&N juga berada di landasan yang betul untuk meneruskan rancangan perniagaan susu segar huluan bagi pengeluaran hiliran.

"Ini membolehkan kami memiliki perniagaan dan operasi integrasi menegak berdasarkan tanaman tempatan untuk makanan kepada ladang tenusu F&N yang seterusnya akan menurunkan kos rantaian nilai seliter.

"Langkah ini akan membantu kami mengurangkan kebergantungan kepada susu import dan akan membantu mempromosikan industri pertanian," katanya pada sidang media pengumuman prestasi suku keempat tahun kewangan 2022 F&N di sini, semalam.

F&N mencatatkan hasil kumpulan sebanyak RM1.14 bilion meningkat 26.9 peratus dan keuntungan selepas cukai RM98 juta kenaikan 67 peratus bagi suku keempat berakhir September 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong oleh momentum positif daripada pemulihan aktiviti ekonomi, penggunaan luar rumah (OOH) dan penambahan stok perniagaan yang mencerminkan perniagaan kembali ke tahap sebelum pandemik.

"Memang benar, separuh tahun pertama adalah tempoh sukar berikutan kenaikan harga komoditi dan kesan banjir terhadap operasi kami di Shah Alam.

"Walaupun keadaan ini secara keseluruhannya menjejaskan keputusan kewangan kami, namun impaknya dikurangkan strategi berkesan yang kami laksanakan bagi mengurus risiko dan pendedahan pasaran, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami pada separuh tahun kedua," katanya.

Lim berkata, kumpulan juga akan terus memberi tumpuan kepada eksport, yang berfungsi sebagai lindung nilai semula jadi untuk mengurangkan kesan pertukaran asing.

Menurutnya, kumpulan akan terus bertindak secara proaktif untuk mengharungi persekitaran yang tidak menentu dan akan mengambil langkah jelas untuk meningkatkan daya tahan melalui pembelian hadapan komoditi utama dan strategi lindung nilai.

Beliau berkata, selain itu tumpuan utama bagi tahun kewangan 2023 ialah Cocoaland Holdings Bhd dan projek tenusu.

Tahun ini juga, kumpulan mengukuhkan tonggak makanan berbungkus halal dengan cadangan pengambilalihan Cocoaland yang selesai pada 4 November 2022 dan Cocoaland kini menjadi anak syarikat milik penuh Kumpulan F&NHB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 4:41 PM