LEE (kanan) pada pelancaran Lazada 11.11 Shopping Festival di The Linc, Kuala Lumpur.
LEE (kanan) pada pelancaran Lazada 11.11 Shopping Festival di The Linc, Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia terus memperkasa usahawan tempatan dan petani luar bandar menerusi The Desa Project.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, inisiatif The Desa Project dilancarkan secara besar-besaran sempena Lazada 11.11 Shopping Festival tahun ini.

Katanya, Lazada menyokong pelaksanaan inisiatif The Desa Project, iaitu satu inisiatif oleh empat usahawan digital yang diilhamkan daripada kejayaan model ‘Taobao Village’ di China sewaktu di program latihan Alibaba Netpreneur (anjuran bersama Malaysia Digital Economy Corporation).

“Matlamat The Desa Project adalah untuk memulih dan memperkasa ekonomi komuniti pedalaman dan sebagai persediaan untuk masa hadapan yang lebih mampan.

“Kami melihat peningkatan jualan usahawan yang terbabit dalam The Desa Project dan kami jangkakan lebih banyak usahawan akan dibantu melalui inisiatif ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Lazada 11.11 Shopping Festival di sini, semalam.

Lee berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan lebih banyak jenama tempatan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Lazada.

Beliau berkata, Lazada Malaysia juga menjadi platform untuk kedai dalam talian Desaku Flagship Store di LazMall yang menjual produk hasil tempatan termasuk beras organik Orang Asli, kacang tanah sempalit, sos soya Bentong dan serbuk halia Bentong.

Sementara itu, Lazada 11.11 Shopping Festival kembali lagi dengan 16 jenama antarabangsa dan tempatan yang menjadikan Lazada Malaysia sebagai pilihan platform e-dagang eksklusif mereka.

Pelanggan juga dapat melakukan pembelian lebih pantas dan lancar serta memberi lebih ganjaran dengan menggunakan Lazada Wallet serta pratempah barangan harga terendah dengan Chup Dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:48 AM