GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Peningkatan unit kediaman siap dibina tidak terjual membuktikan pasaran hartanah kediaman di Malaysia terus merosot dan ia dijangka berterusan pada 2019.

Ia adalah bersandarkan kepada data diterbitkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan bilangan kediaman tidak terjual di negara ini meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga tahun ini.

Jumlah itu adalah peningkatan 48.35 peratus berbanding 20,304 unit pada tempoh sama tahun lalu yang membabitkan jumlah RM19.54 bilion.

Kebanyakan unit tidak terjual terdiri daripada unit berharga RM500,000 dan ke atas iaitu lebih 12,000 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berkata, situasi itu membuktikan bahawa sektor hartanah tidak menunjukkan sebarang pemulihan malah ia menjadi lebih meruncing berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, situasi terbabit dapat diselesaikan sekiranya pihak pemaju rumah mengambil sikap lebih realistik sebelum melancarkan projek rumah dan tidak menumpukan kepada hartanah mewah saja.

“Disebalik pelbagai isu dan permasalahan timbul dalam pasaran hartanah, kerajaan turut memainkan peranannya dengan memperkenalkan langkah serta inisiatif strategik.

“Antaranya adalah seperti platform pembiayaan rakan setara (P2P) atau skim pendanaan ramai yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, pada November lalu.

“Kesanggupan kerajaan untuk meneroka inisiatif berkenaan juga adalah bukti bahawa pihak pentadbiran negara mahu membantu memulihkan pasaran hartanah negara,” katanya, di sini.

Radzi berkata, masalah rumah tidak terjual itu mungkin akan terus meningkat dan menjejaskan pertumbuhan pasaran hartanah pada tahun depan.

“Sekiranya ia tidak dibendung dengan cepat, kita bimbang ia akan memburukkan lagi pasaran, sekali gus memperlihatkan prestasi industri hartanah terus merudum dari tahun ke tahun.

“Selain pihak pemaju rumah yang perlu menyediakan produk bersesuaian, institusi kewangan seperti bank pula memperkenalkan produk pembiayaan rumah bersesuaian atau melonggarkan syarat pinjaman,” katanya.

Beliau turut mencadangkan, satu pangkalan data permintaan rumah yang dikawal selia oleh kerajaan dapat diwujudkan kerana NAPIC hanya menyediakan data bagi bekalan rumah.

Menurutnya, pangkalan data seumpama itu adalah penting kerana ia dapat memastikan sebarang pelancaran projek baru itu adalah bertepatan dengan permintaan dan selari dengan harga yang ditawarkan.

Sementara itu, beliau juga berharap kerajaan dapat melaksanakan mekanisme pelepasan unit perumahan kuota Bumiputera yang tidak terjual ke pasaran bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 12:09 AM