Dari kiri, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Dari kiri, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman akan bersara berkuat kuasa 30 September 2016, selepas 37 tahun bersama Kumpulan PNB.

Lembaga Pengarah PNB turut mengumumkan Datuk Abdul Rahman Ahmad, 47, bekas CEO Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan mengambil alih jawatan Presiden/CEO Kumpulan mulai 1 Okt, 2016.

"Hamad sudah bersama dengan kumpulan selama 37 tahun, 18.5 tahun sebagai CEO. Beliau memainkan peranan penting memastikan pulangan kompetitif dan berterusan kepada pemegang unit PNB," kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dalam satu kenyataan.

Hamad bagaimanapun, akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi PNB Development Sdn Bhd, cabang pembangunan hartanah milik penuh PNB.

Sementara itu pengganti Hamad, Abdul Rahman memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang audit, korporat dan ekuiti swasta.

Sebelum menubuhkan Ekuinas, Abdul Rahman adalah Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd dan memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corp Bhd.

Beliau memiliki Sarjana Sastera dalam Ekonomi daripada Cambridge University, United Kingdom.

Hamad dalam satu kenyataan berasingan berkata beliau merasa sangat terharu dapat berkhidmat kepada rakyat Malaysia lebih 37 tahun dalam PNB, menjadi sebahagian pasukan yang terbabit dalam pelaksanaan dasar kerajaan bagi perkongsian dan pengagihan harta korporat dalam kalangan masyarakat menerusi skim amanah saham.

Beliau berharap satu hari nanti setiap rakyat Malaysia akan dapat mengubah kehidupan mereka, melengkapkan diri dengan kemahiran kewangan dan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 10:44 PM