ABD Razak Mohd A.Kadir
ABD Razak Mohd A.Kadir
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pos Ar Rahnu Sdn Bhd komited menjadikan ArRahnu@POS pemain utama pajak gadai Islam di negara ini dalam tempoh lima tahun dan mempelbagaikan perkhidmatan termasuk tawaran barang gadaian diinsuranskan sebanyak 100 peratus.

Naib Presiden Kanannya, Abd Razak Mohd A Kadir berkata, setakat ini pihaknya mempunyai sebanyak 75 rangkaian ArRahnu@POS di cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Katanya, ArRahnu@POS bukan saja menerima transaksi pajakan, malah turut mempunyai perkhidmatan simpanan emas dengan kadar bulanan hanya 75 sen bagi setiap RM100 marhun (nilai emas).

"Selain itu, pelanggan juga boleh membuat penilaian zakat secara percuma dan mencuci emas pada harga terendah di pasaran iaitu sebanyak RM2 di ArRahnu@POS.

"Kami menerima semua bentuk barangan emas termasuk jongkong emas Pamp Suisse dan Public Gold yang disertakan dengan sijil asal serta berat tidak melebihi 100 gram," katanya.

Menurutnya, Ar-Rahnu@POS turut menawarkan margin pinjaman tertinggi sehingga 75 peratus daripada nilai marhun dan kadar upah tetap 1.0 peratus dengan had pinjaman maksimum RM20,000 sehari serta pinjaman terkumpul sehingga RM50,000 bagi seorang pelanggan.

Abd Razak berkata, pihaknya memperkenalkan konsep lebih santai dan mesra pelanggan di Ar-Rahnu@POS serta urus niaga yang lebih telus kerana dilaksanakan di hadapan pelanggan.

Beliau berkata, ruang operasi dalam premis pejabat pos juga dilengkapi sistem keselamatan bertahap tinggi seperti CCTV, alat penggera kecemasan dan bilik kebal dilengkapi dengan ciri keselamatan terbaru.

"Pihak ArRahnu@POS menitikberatkan pematuhan kepada setiap standard operasi serta menjalankan audit bulanan di setiap cawangan untuk memastikan semua kakitangan mematuhi semua protokol yang ditetapkan dan paling penting semua barang gadaian diinsuranskan sepenuhnya.

"Perkhidmatan ArRahnu@POS terbuka kepada warganegara, penduduk tetap dan warga asing yang berumur 18 tahun ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:57 AM