ABDUL Hak bergambar di depan model kapal pengangkut minyak.
ABDUL Hak bergambar di depan model kapal pengangkut minyak.
Mahanum Abdul Aziz


EA Technique (M) Bhd, syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp) dalam perkapalan serantau, meninjau memperluaskan kehadirannya di Indonesia dalam segmen hiliran minyak dan gas (O&G) yang berpotensi besar.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Abdul Hak Md Amin berkata, ketika ini syarikat Bumiputera itu sudah menembusi pasaran berkenaan dengan menawarkan perkhidmatan kepada PT Pertamina International Shipping.

Beliau berkata, permintaan terhadap kapal mengangkut adalah tinggi kerana Indonesia adalah pengimport bersih minyak mentah.

“Rancangan masa depan adalah untuk berkembang dan Indonesia menjadi pasaran selanjutnya (untuk dikembangkan) terutama dalam segmen hiliran.

“Kami berharap kerajaan Indonesia akan membeli lebih banyak produk ditapis dari Malaysia,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas sama ada rancangan pengembangan di Indonesia akan dilakukan menerusi usaha sama strategik atau penjualan kepentingan, Abdul Hak berkata, ketika ini, ada beberapa syarikat berminat untuk menjalin usaha sama strategik dengan EA Technique.

Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum ada rancangan untuk menjual kepentingan.

“Kita sudah lama menawarkan perkhidmatan di Indonesia. Cuma, kontrak yang diperoleh adalah kontrak jangka pendek (enam bulan kontrak).

“Apa yang kami mahu kini adalah untuk mendapatkan kontrak jangka panjang,” katanya.

EA Technique juga sedang membina empat kapal baharu berharga RM225.24 juta bagi memenuhi keperluan kontrak baharunya, sekali gus memperkukuhkan lagi pendapatan masa depan.

Abdul Hak berkata, ketika ini pembekal pengangkutan marin itu memperoleh kontrak bernilai RM802.89 juta dengan RM545.37 juta lagi kontrak lanjutan yang meletakkan kedudukan kewangan syarikat pada kedudukan yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:10 AM