ANTARA projek Hotel Tabung Haji yang masih dalam pembinaan di Kuching.
ANTARA projek Hotel Tabung Haji yang masih dalam pembinaan di Kuching.
Mahanum Abdul Aziz

London: TH Properties Sdn Bhd sedang meninjau peluang untuk menembusi pasaran hartanah kediaman di London dan Jakarta yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan cerah pada masa depan.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Roszali Othman berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti rakan kongsi yang tepat untuk bekerjasama di kedua-dua negara berkenaan.

Beliau berkata, keputusan untuk mencari rakan kongsi yang tepat dalam menembusi pasaran baharu dibuat bersandarkan kejayaan yang sama di Australia.

Katanya, ketika ini TH Properties mempunyai enam projek hartanah di Sydney, Australia dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM3.5 bilion.

Malah jelasnya, projek hartanah di negara itu menyumbang secara ketara kepada keuntungan syarikat.

“Kami sentiasa meninjau peluang untuk menembusi pasaran luar negara menerusi rakan kongsi.

“Bagi kami, untuk berjaya di pasaran luar adalah dengan mempunyai rakan kongsi yang baik,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017-2018 yang dianjurkan International Property Media, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rancangan TH Properties untuk mengembangkan kehadirannya di pasaran global.

Roszali berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh waktu tertentu untuk menembusi kedua-dua pasaran berkenaan.

Beliau berkata, apa yang penting adalah mengenal pasti rakan kongsi yang tepat dan projek pembangunan hartanah yang bakal dilaksanakan itu mampu menjana keuntungan dan sesuai dengan strategi perniagaannya.

Menyentuh mengenai prestasi kewangan TH Properties bagi 2017, Roszali berkata, pemaju hartanah bersepadu itu berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan sasaran keuntungan sebelum cukai RM94 juta tahun ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, keuntungan sebelum cukai TH Properties berjumlah RM73.72 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:32 AM