DR Ong  (tengah) bersama pemimpin juara produktiviti di Forum Kecemerlangan Perniagaan CEO di Kuala Lumpur, semalam.
DR Ong (tengah) bersama pemimpin juara produktiviti di Forum Kecemerlangan Perniagaan CEO di Kuala Lumpur, semalam.
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima 21 cadangan membangunkan kereta nasional ketiga setakat ini.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming berkata, cadangan itu membabitkan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menilai sebaiknya cadangan yang dikemukakan itu.

“Cadangan yang diterima adalah gabungan antara tempatan dan asing,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pembukaan di Forum Kecemerlangan Perniagaan CEO anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain.

Mengulas mengenai rancangan Dyson untuk membina kemudahan pengeluaran kereta elektrik di Singapura, Kian Ming berkata, Malaysia tidak akan terjejas, sebaliknya ia membuka banyak peluang untuk syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan pengeluaran syarikat berkenaan.

Beliau menegaskan, langkah pembukaan kilang pengeluaran kereta elektrik oleh Dyson itu juga dilihat tidak menjejaskan rancangan kereta nasional ketiga negara.

“Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan keputusan Dyson membangunkan kemudahan pengeluaran kereta elektrik di Singapura.

“Sebenarnya, ketika ini, rantaian bekalan serta pemasangan produk Dyson adalah di Johor dan ia mempunyai pusat reka bentuk di Johor.

“Justeru, Malaysia tidak terjejas, sebaliknya banyak peluang untuk syarikat Malaysia sertai dalam rantaian nilai,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ong berkata, dalam tempoh 2014-2017, produktiviti buruh negara berkembang 3.5 peratus, sementara pekerjaan meningkat 1.5 peratus.

Beliau juga menyeru enterpris di negara ini memupuk budaya kualiti dan inovasi menerusi pemahaman dan penghargaan lebih baik terhadap permintaan pengguna.

Pada forum itu, Ong juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MPC dan Sunway Construction Group Bhd bagi membangunkan Kriteria Penilaian dan Manual Kualiti Persekitaran/5S bagi Industri Pembinaan.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan Dasar Perindustrian 4.0 pada 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:00 PM