AZMIR Merican. FOTO: Zunnur Al Syafiq
AZMIR Merican. FOTO: Zunnur Al Syafiq
Bisnes HM


UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), syarikat peneraju pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur di rantau ini mencatatkan peningkatan pendapatan 10.4 peratus tahun-ke-tahun kepada RM1.11 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan (TK) 2019 yang berakhir 30 Jun 2019, berbanding RM1.01 bilion pada TK2018.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan bersih untuk separuh pertama TK2019 masing-masing meningkat 2.8 peratus dan 4.6 peratus kepada RM92.8 juta dan RM68.1 juta.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, segmen Pengurusan Aset yang terdiri dari Sokongan Penjagaan Kesihatan dan Penyelesaian Fasiliti dan Hartanah adalah penyumbang utama pertumbuhan bagi bagi tempoh berkenaan.

“Segmen Sokongan Penjagaan Kesihatan mencatatkan peningkatan pendapatan 19.7 peratus dan peningkatan PBT 25.9 peratus.

“Pertumbuhan pendapatan di bahagian ini kebanyakannya disumbangkan daripada projek-projek baharu yang diperoleh menerusi operasi di Singapura dan Taiwan dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, bahagian Sokongan Penjagaan Kesihatan terus menjadi penggerak utama dalam memacu pertumbuhan Kumpulan di mana pada Julai lalu, pihaknya telah memperoleh kontrak bernilai RM540.06 juta untuk menyediakan perkhidmatan sokongan hospital kepada Kementerian Kesihatan Singapura.

“Kami akan terus menerokai peluang perniagaan baharu di rantau ini.

“Setakat ini, kami mempunyai operasi serantau dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih 300 hospital di Malaysia, Singapura, Taiwan dan India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:48 PM