AZMIR
AZMIR
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) menerajui pembangunan hijau dan kelestarian hospital di Malaysia melalui pelaksanaan program pengurusan tenaga yang turut disertai hospital awam tempatan.

Program dijalankan menerusi konsesi perkhidmatan sokongan hospital awam untuk 32 hospital di utara Semenanjung itu berjaya menjana penjimatan sehingga RM23.6 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Januari 2017 hingga Disember 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, teknologi penderia digunakan untuk memantau penggunaan tenaga dari lampu dan penyejuk di hospital.

Katanya, penjimatan selanjutnya dijangka dicapai pada masa hadapan. Penekanan penting terhadap penyelenggaraan ramalan dan pencegahan dalam semua aspek operasi hospital di bawah jagaan syarikat.

“Lebih ramai pentadbir hospital dan pasukan pengurusan kini memahami dengan mendalam bahawa keuntungan signifikan dapat dicapai melalui inisiatif kecekapan tenaga dan pelaburan awal.

“Ini dicapai melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC), konsep inovatif bersifat penjimatan yang boleh membantu syarikat mengatasi komitmen modal terdahulu melalui penghasilan keputusan cepat serta memberi kesan positif kepada prestasi kewangan syarikat,” katanya di sini, semalam.

Azmir berkata, fasiliti penjagaan kesihatan seperti hospital adalah pengguna tenaga utama kerana ia memerlukan bekalan tenaga stabil sepanjang masa untuk pengudaraan, pencahayaan, penyaman udara dan penggunaan peralatan perubatan dan bukan perubatan.

“Kejayaan program pengurusan tenaga turut dibuktikan apabila Hospital Tuanku Fauziah di Perlis mencatatkan penjimatan tenaga sebanyak 18 peratus mewakili RM1.05 juta dalam purata penjimatan sebelumnya.

“Malah, hospital yang lebih kecil seperti Hospital Sungai Siput di Perak juga mencatatkan penjimatan sehingga 30 peratus bersamaan penjimatan RM360,000,” katanya.

Menurutnya, pada Januari dan Disember 2018, Hospital Teluk Intan merekodkan purata penjimatan RM1.07 juta berbanding tahun sebelumnya bersamaan penjimatan tenaga sebanyak 30 peratus.

“Penjimatan ini diperoleh hasil beberapa perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan seperti kawalan pengudaraan mengikut permintaan, penyejuk cekap tenaga, penambahbaikan pencahayaan dan sistem bangunan automatik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:48 AM