UniSZA tandatangani MoA bersama QSR Brands.
UniSZA tandatangani MoA bersama QSR Brands.

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menerusi syarikat perniagaan huluannya, Ayamas Integrated Poultry Sdn Bhd (AIPI).

Ia antara lain memberi peluang kepada pelajar program Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan untuk memperoleh pembelajaran menerusi latihan industri bersama AIPI di ladang ayam pedaging Ayamas Mantin untuk tempoh setahun selepas tiga tahun pengajian akademik.

Pengarah Urusan Kumpulan, QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, sebagai pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini, pihaknya perlu memainkan peranan bagi memacu transformasi dengan menggilap bakat dan tenaga kerja masa hadapan.

“Kami juga memainkan peranan dalam menyerlahkan potensi penuh mereka dengan menyediakan pembelajaran melalui pengalaman sebenar.

“Kerjasama strategik ini akan memberi nilai tambah kepada industri penternakan ayam secara keseluruhan kerana apabila pelajar menamatkan pengajian, semua ciri yang diperlukan oleh industri sudah tersedia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan visi dan misi UnisZA dalam melahirkan graduan berkualiti.

“Kami menumpukan usaha bagi memantapkan industri penternakan ayam selain bakal meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:17 AM