GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru lebih banyak syarikat di negara ini supaya bekerjasama dengan universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan menerusi program 2 Tahun Universiti 2 Tahun Industri (2U2i).

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program 2U2i yang diperkenalkan sejak 2015 mendedahkan penuntut kepada pekerjaan sepanjang pengajian mereka.

Katanya, setakat ini tujuh universiti yang melaksanakan 2U2i termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menekankan bidang keusahawanan kepada penuntut.

"Program ini akan melahirkan individu yang hebat kerana menjadi penjana pekerjaan dan bukannya pencari pekerjaan.

"Sebaik tamat pengajian, mereka boleh bekerja sendiri dengan berniaga," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.

IDRIS (tiga kanan) melihat MoU antara UMK yang diwakili Mortaza (dua kiri) dengan QSR Brands yang diwakili Mohamed Azahari (kanan).
IDRIS (tiga kanan) melihat MoU antara UMK yang diwakili Mortaza (dua kiri) dengan QSR Brands yang diwakili Mohamed Azahari (kanan).

UMK diwakili Naib Canselornya, Datuk Dr Mortaza Mohamed dan QSR Brands diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

Idris berkata, MoU berkenaan memberi peluang kepada penuntut untuk menjalani latihan industri selama dua tahun dengan syarikat itu.

"Buat permulaan, 100 pelajar UMK akan diberi peluang untuk menjalani latihan industri di rangkaian restoran yang dimiliki QSR Brands.

"Program ini (2U2i) akan melahirkan penuntut berkualiti dan holistik selain berciri keusahawanan serta seimbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 8:06 PM