KAMARUZZAMAN (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Takeshi.
KAMARUZZAMAN (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Takeshi.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: QSR Trading Sdn Bhd (QSR Trading), syarikat pemasaran dan pengedaran QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menandatangani memorandum persefahaman dengan Takexco Malaysia Sdn Bhd (Takexco) untuk menjadi pengedar tunggal bagi produk pencuci (sanitizer) bersijil halal dan bergred makanan dikenali Takex Clean QSR dan Takex Clean Extra QSR di pasaran Malaysia.

Melalui perjanjian itu, QSR Trading diberi hak eksklusif bagi mengedarkan produk pembersih ethanol sanitizer pertama di dunia yang bergred makanan dan sijil halal di Malaysia berserta perjanjian usaha sama penjenamaan.

Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu selaras dengan aspirasi kerajaan baru untuk mengukuhkan lagi momentum hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

“Kerjasama dengan Takexco ini adalah satu lagi langkah progresif ke arah memperluaskan jaminan halal kami dalam operasi pengeluaran makanan dan restoran halal kami serta diharap mampu memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang semakin bijak memilih produk kebersihan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara QSR Brands dan Takexco di sini, semalam.

Memorandum itu ditandatangani Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Pengarah Eksekutif Kanan Takex Co Ltd, Takeshi Okada sambil disaksikan Pengarah Takexco Malaysia dan Presiden Takex Co Ltd, Kumi Okada.

Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, QSR Brands menyasarkan untuk mengedarkan kedua-dua produk Takex itu di pasar raya besar seluruh negara menjelang Januari tahun depan.

“Selain pasar raya besar, kedua-dua produk ini juga akan digunakan di semua 48 cawangan Kedai Ayamas seluruh negara,” katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:00 AM