MELATI (tiga dari kiri) pada sesi taklimat McDelivery, semalam.
MELATI (tiga dari kiri) pada sesi taklimat McDelivery, semalam.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: McDonald’s Malaysia akan memperluas rangkaian perkhidmatan penghantaran makanannya, McDelivery kepada 1,000 titik penghantaran menjelang 2025 bersandarkan kepada perubahan dalam landskap dunia perniagaan.

Sasaran berkenaan mampu melonjakan penguasaan pasaran perkhidmatan McDelivery dari 10 peratus ketika ini menjadi 30 peratus dalam tempoh yang ditetapkan.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai berkata, perkembangan servis McDelivery itu akan dilaksana dan direalisasikan menerusi kehadiran 450 cawangan McDonald’s pada 2025 selain kerjasama strategik dengan pengendali pihak ketiga melalui pelaburan keseluruhan mencecah RM1.4 bilion.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan 310 titik penghantaran McDelivery tahun ini iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu.

“Strategi jangka panjang kami juga adalah untuk melengkapkan sekurang-kurangnya 90 peratus restoran McDonald’s dengan perkhidmatan McDelivery pada 2025 bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Sebagai sebahagian daripada rancangan perluasan ini, McDonald’s komited untuk mencuba saluran yang belum diterokai bagi mencapai matlamat syarikat seperti menyediakan lebih 310 titik penghantaran pada hujung tahun ini.

“Bagi tempoh antara Januari dan Jun 2018, McDelivery sudah mencatat kadar pertumbuhan 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya pada sesi taklimat McDelivery di sini, semalam.

Selain itu, McDonald’s turut melancarkan aplikasi mudah alih terbarunya, yang mempunyai pelbagai fungsi selain pesanan makanan seperti promosi, tempahan bagi majlis hari jadi, permohonan pekerjaan, berita dan maklum balas pelanggan.

Dalam pada itu, syarikat makanan segera itu juga menjalin kerjasama strategik dengan jenama perkhidmatan penghantaran makanan terkemuka, foodpanda.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Melati berkata, pihaknya dapat memanfaatkan rangkaian luas yang dimiliki oleh foodpanda bagi mendekati lebih ramai pelanggan.

“Pakatan strategik ini membolehkan kami menarik lebih banyak pengguna bagi servis ini di samping dapat menghantar ke lokasi baru menerusi rangkaian penghantaran foodpanda yang luas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 10:54 AM