Majlis pelancaran WOWnita. FOTO Rosela Ismail
Majlis pelancaran WOWnita. FOTO Rosela Ismail
Sofyan Rizal Ishak


STANDARD Chartered Malaysia melalui Standard Chartered Saadiq memperkenalkan skim pembiayaan patuh syariah dikenali WOWnita bagi membantu usahawan wanita mendapatkan akses pembiayaan.

Skim bebas cagaran yang menawarkan pinjaman fleksibel dengan amaun antara RM100,000 hingga RM1.5 juta itu diwujudkan khusus bagi wanita yang memiliki pegangan terbesar sekurang-kurangnya 51 peratus dan menjadi pembuat keputusan di syarikat terbabit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Abrar A Anwar berkata, tinjauan terkini menunjukkan wanita mencatatkan kadar keusahawanan yang lebih tinggi berbanding lelaki di Malaysia dengan golongan itu menyumbang 20 peratus daripada PKS berdaftar di negara ini.

“Melalui WOWnita, kami komited untuk menyediakan bantuan kepada wanita bagi keperluan perbankan mereka di samping mewujudkan ekosistem holistik kewangan Islam di negara ini,” katanya pada pelancaran WOWnita bersempena majlis menandatangani Perjanjian Jaminan Portfolio (PG) antara Standard Chartered Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) di Kuala Lumpur, hari ini.

WOWnita juga adalah skim pembiayaan perantaraan berasaskan nilai yang direka bagi menggalakkan wanita untuk mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:31 PM