Petaling Jaya: Credit Guarantee Corporation (M) Bhd (CGC) yakin dapat melepasi sasaran pinjaman RM2.7 bilion tahun ini selepas mencapai 90 peratus sasarannya daripada segi bilangan akaun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, ketika ini jumlah pemegang akaun 5,022 berbanding 5,600 sasaran pemegang akaun.

“Pasukan kami berusaha keras pada November dan Disember untuk memastikan petunjuk prestasi utama dicapai,” katanya selepas majlis pemeteraian kerjasama strategik dengan Affin Bank Bhd, di sini, semalam.

CGC memeterai kerjasama dengan Affin Bank untuk menawarkan pembiayaan jaminan portfolio (PG) bernilai RM50 juta bagi mempercepatkan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Affin Bank diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Ini adalah PG pertama CGC dengan ciri-ciri mekanisme perkongsian risiko berbeza kerana Affin Bank akan menyerap mana-mana pinjaman terjejas nilai dalam tahun pertama pembiayaan. Menerusi kaedah ini, ia dapat menawarkan kadar fi yang lebih rendah dan kompetitif kepada pelanggannya.

Pembiayaan PG akan memberi kelebihan kepada PKS yang mahu memenuhi keperluan modal kerja mereka, pembelian aset dan perbelanjaan modal, dan ini dijangka memberi manfaat kepada 170 PKS bagi tahap pertama mereka.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:02 AM