ISKANDAR Mizal (tiga kiri)  menerima replika cek daripada Abrar (tiga Kanan). Turut hadir, Mustapha Kamil (dua kiri). FOTO Hasriyasyah Sabudin.
ISKANDAR Mizal (tiga kiri) menerima replika cek daripada Abrar (tiga Kanan). Turut hadir, Mustapha Kamil (dua kiri). FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


STANDARD Chartered Malaysia menyerahkan sumbangan RM150,000 untuk Bantuan Kemanusiaan Covid-19, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, hari ini.

Penyerahan cek disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Abrar A Anwar kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Iskandar Mizal Mahmood di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur.

Majlis turut disaksikan Pengarah Eksekutif Operasi, Berita dan Editorial Media Prima Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Zasman Asna; Ketua Hal Ehwal Korporat, Penjenamaan dan Pemasaran Standard Chartered Malaysia Jennifer Kang serta Ketua Penajaan Penjenamaan, Kelestarian dan Hal Ehwal Awam Standard Chartered Malaysia Mastura Adnan.

Abrar berkata, sumbangan itu antara langkah diambil Standard Chartered Malaysia untuk berbakti kepada komuniti selain perkhidmatan perbankan disediakan pihaknya.

"Kami memilih Media Prima sebagai rakan strategik untuk turut serta dalam menyampaikan sumbangan kepada komuniti terutama ketika pandemik Covid-19.

"Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Media Prima dalam usaha murni ini," katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah kerjasama pertama pihaknya berkaitan Covid-19 bersama Media Prima.

"Ia dianggap sebagai permulaan merancang kerjasama seterusnya membabitkan pelbagai program lain memandangkan Media Prima adalah entiti yang mempunyai pengalaman beroperasi selama 25 tahun serta kredibiliti baik," katanya.

Menurutnya, menerusi kerjasama ini, pihaknya boleh menilai operasi syarikat Media Prima yang beralih kepada saluran digital untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

"Kaedah itu boleh diguna pakai bagi perkhidmatan perbankan supaya lebih mesra pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:46 PM