AMIRUDIN (tiga dari kanan) bersama Darell (tengah).
AMIRUDIN (tiga dari kanan) bersama Darell (tengah).
Nurhayati Abllah

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggubal Pelan Perindustrian Baharu bagi menentukan hala tuju pembangunan industri negara pada masa depan.

Pelaksanaan pelan itu dengan menggariskan sasaran, strategi dan pelan tindakan bagi tempoh 2021 hingga 2030 merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk K Talagavathi, berkata pelan berkenaan akan memfokuskan kepada pembangunan perindustrian selain galakan pembangunan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pelan ini sedang dalam proses awal penggubalan dan MITI bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi mengumpulkan data untuk memulakan proses penggubalan berkenaan.

“Pelan ini secara khusus akan bermula Jun tahun ini dan dijangka selesai pada penghujung 2020,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Terdahulu, mengulas mengenai lawatan MITI ke Selangor, Darell berkata, negeri itu mempunyai sistem pengurusan dan ekosistem yang baik sehingga mampu memberi keyakinan kepada pelabur.

Katanya, tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM606.6 bilion berbanding 2017 berjumlah RM582 bilion.

“Pada 2018 juga, nilai eksport dan import negeri itu masing-masing berjumlah hampir RM257 bilion dan RM350 bilion, berbanding 2017, masing-masing sebanyak RM258.2 bilion dan RM323.9 bilion.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor dari 2015 hingga September 2018 adalah sebanyak RM29.6 bilion. Daripada jumlah itu, pelaburan asing berjumlah RM15 bilion membabitkan 369 projek yang dijangka menjana 26,492 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan terbesar adalah membabitkan sektor peralatan pengangkutan, diikuti sektor pembuatan makanan dan industri kimia, manakala pelabur utama di negeri itu adalah dari Jepun, China dan Singapura.

Selain Selangor, beliau berkata, kementerian juga akan mengadakan lawatan ke negeri lain secara berperingkat bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan perindustrian dan pelaburan.

“Turut akan dibincangkan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang kini masih di peringkat rundingan dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang belum diratifikasikan oleh Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:27 AM