TONY mengendalikan perniagaan berasaskan makanan dan minuman daripada Thailand sejak 2014.
TONY mengendalikan perniagaan berasaskan makanan dan minuman daripada Thailand sejak 2014.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Utara 5 Food Beverage Sdn Bhd, pengendali restoran The Original Boat Noodle merancang meneroka pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pelan perniagaan jangka panjang.

Pengasasnya, Tony Lim berkata, sebagai jenama tempatan yang mengendalikan perniagaan berasaskan makanan dan minuman daripada Thailand, pihaknya yakin dengan potensi serta peluang bertapak di dua negara itu.

Beliau berkata, usaha itu masih dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pihak berkepentingan mengenai hala tuju sekiranya rancangan itu dimuktamadkan.

“Perancangan menembusi pasaran di UK dan AS penting kerana ia ada kekuatan tersendiri khususnya dengan The Original Boat Noodle sebagai jenama restoran dari Malaysia.

“Kami meninjau melakukan kerjasama dengan syarikat tempatan atau sebaliknya jika ingin mempunyai kehadiran di dua negara membangun itu.

“Ia bukan langkah mudah kerana pelbagai perkara perlu diteliti dan diberi perhatian seperti kos operasi dan keuntungan yang bakal diperoleh,” katanya di ibu pejabatnya, baru-baru ini.

The Original Boat Noodle yang menyediakan pelbagai menu makanan Thailand berasaskan mi itu turut mempunyai kehadiran di pasaran antarabangsa seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Myanmar, Taiwan, Australia dan Filipina.

Tony berkata, pihaknya komited terus memperkukuh cabang perniagaan luar negara di rantau Asia dari tahun ke tahun sebagai usaha menjadikan jenama The Original Boat Noodle dikenali di peringkat global.

“Untuk berada di peringkat antarabangsa, khususnya di negara sedang membangun dan membangun sangat mencabar.

“Sebagai pemain industri dalam bidang ini, kami perlu mengambil perhatian setiap perkara seperti budaya tempatan dan kos supaya pelaburan dilakukan membuahkan hasil,” katanya.

Katanya, pihaknya juga perlu menyesuaikan tawaran menu di beberapa negara dalam memastikan menarik minat pelanggan.

“Sebagai contoh, bagi tempoh dua tahun di Indonesia, kami menjalankan kaji selidik dan pemantauan berkenaan pasaran tempatan dan ia membantu perjalanan operasi The Original Boat Noodle di sana.

“Operasi di Brunei pula menunjukkan penerimaan dan permintaan tinggi manakala Myanmar pasaran mencabar namun mudah diuruskan,” katanya.

Restoran The Original Boat Noodle beroperasi di Malaysia pada 2014 dan sehingga kini ada 51 cawangan yang menawarkan lebih 50 menu makanan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 12:28 PM