FASIHAH (kanan) bersama pekerja di restorannya.
FASIHAH (kanan) bersama pekerja di restorannya.
Hidayatul Akmal Ahmad

Semua ada! Itu yang boleh diungkapkan ketika mengunjungi Restoran Boraq-boraq di Rawang, Selangor. Daripada masakan Melayu, Thai, Barat hinggalah makanan tradisional boleh didapati pada harga berpatutan.

Bagi penggemar makanan Thai disediakan ‘Boat Noodle Negaraku Style’ yang dihidangkan dalam mangkuk kecil berharga serendah RM2 semangkuk. Pengunjung juga boleh membuat pilihan sama ada mahu perisa ayam atau daging.

Pemiliknya, Nur Fasihah Shazana Ishak, 30, berkata, dia membuka restoran ini pada Oktober 2016 dan masih ‘setahun jagung’ tapi sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.

ANTARA hidangan di Restoran Boraq-boraq.
ANTARA hidangan di Restoran Boraq-boraq.

“Restoran ini berkonsep santai bercirikan hipster. Selain hidangan yang disebut tadi, kami menyediakan pelbagai jenis menu lain seperti ayam penyet bakar, nasi goreng tomyam, laksa utara, laksa Johor, mi bandung, nasi kukus, ubi rebus, rojak tauhu, salad dan sebagainya.

“Boleh dikatakan restoran ini sebagai tempat sehenti untuk kaki makan. Menariknya, kami belajar sendiri seni masakan Thai yang dilihat semakin mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

“Misalnya ‘Boat Noodle Negaraku Style’, kami belajar cara membuat kuahnya daripada tukang masak berpengalaman di sana bagi memastikan kepuasan pelanggan,” katanya di restorannya baru-batu ini.

BOAT Noodle Negaraku Style.
BOAT Noodle Negaraku Style.

Selain itu, Fasihah juga membuat sendiri pes asli untuk masakan Thai dan masakan tempatan. Lebih menarik, restoran Boraq-boraq menawarkan diskaun kepada pelajar dan warga emas berusia 65 tahun ke atas yang makan di restoran sahaja.

“Restoran ini mampu memuatkan 45 hingga 60 pelanggan dalam sesatu masa. Kami juga menerima tempahan katering bawah 500 bungkusan. Setiap hari Jumaat, kami akan mengedarkan minuman percuma terpilih iaitu sirap dan teh O ais kepada pelanggan. Bagi peminat air katira, kami juga menjualnya di sini,” katanya.

ANTARA minuman kegemaran pelanggan.
ANTARA minuman kegemaran pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:04 AM