PELBAGAi hidangan menarik dalam mangkuk kecil dan murah.
PELBAGAi hidangan menarik dalam mangkuk kecil dan murah.
Mohd Azam Shah Yaacob


Bagi yang pernah melancong ke Thailand, anda pasti sudah biasa menemui atau menikmati menu jalanan di gerai kecil terletak di simpang atau kaki lima yang dihidang dalam mangkuk lazimnya ditulis sebagai ‘boat noodle’.

Hidangan ‘boat noodle’ ini pula mencetus fenomena kerana saiz atau bahagian makanan berkenaan dihidang dalam jumlah yang kecil.

Justeru, pelanggan mempunyai pilihan memesan semula menu yang dimakan atau mencuba menu lain pula sehingga kenyang.

Mengambil inspirasi itu, Izmier Fahmi bersama rakannya Saifullizan Shapii membuka Eat & Repeat Cafe, iaitu sebuah kafe yang menggunakan konsep hidangan dalam mangkuk kecil atau ‘boat noodle’ tapi dengan kadar harga makanan kaki lima.

Mana tidaknya, setiap menu dalam satu mangkuk kecil di kafe ini, pelanggan hanya dikenakan bayaran RM1.90. Harga sama juga dikenakan iaitu RM1.90 untuk minuman dan setiap kali menambah hidangan.

Buat masa ini, 12 menu boleh dicuba termasuk dua jenis hidangan pencuci mulut.

“Konsep ini kita tiru daripada hidangan boat noodle di Thailand tapi kita ubah kepada saiz hidangan yang lebih kecil.

“Tujuannya mudah. Jika suka menu tadi, pelanggan boleh pesan semula atau jika tak kena pada cita rasa, mereka boleh cuba pula menu lain,” katanya.

Menurut Izmier, konsep makanan yang diperkenalkan juga berasaskan menu tempatan seperti nasi lemak, nasi putih, laksa dan mee.

“Di sini saiz satu mangkuk kecil ini tak akan membuatkan pelanggan terus kekenyangan dan paling penting mereka tidak membazir jika menu itu tidak diminati selain harganya yang murah.

“Biarpun lazimnya tiga hingga empat mangkuk sudah membuatkan seseorang itu kekenyangan, tapi di sini pernah ada yang makan sehingga 15 mangkuk kecil,” katanya.

Pelanggan, Nur Atiqah Farnieza Jainal, 23, yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berkata, hidangan di kafe berkenaan memenuhi kehendak selera penuntut sepertinya kerana ia menjimatkan.

Dia yang datang bersama tiga rakannya berkata, memang sering berkunjung ke kafe bukan saja kerana ia murah, sebaliknya hidangannya juga sedap.

“Rasanya dalam banyak-banyak tempat yang kami pergi, ini satu-satunya tempat makan paling murah dan sedap.

“Bukan setakat rasa makanan yang sedap, harganya pula berpatutan dan menepati bajet makan kami setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 10:24 AM