VIJAYAN (kiri) menunjukkan makanan segera CaliBurger.
VIJAYAN (kiri) menunjukkan makanan segera CaliBurger.

Kuala Lumpur: CaliBurger (Malaysia) Sdn Bhd (CaliBurger), merancang membuka tiga cawangan makanan segera jenama Caliburger di negara ini dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang membabitkan pelaburan kira-kira RM4 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vijayan Chinnasami berkata, syarikat dijangka membuka cawangan itu di kawasan Lembah Klang dengan cawangan pertama akan mula beroperasi dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang.

“Kami memilih Malaysia sebagai lokasi perniagaan kerana negara ini adalah salah satu daripada pasaran makanan dan minuman berkembang pantas di peringkat global dengan pertumbuhan 10 peratus daripada tahun ke tahun,” katanya pada sidang media pengumuman pelancaran jenama CaliBurger di sini.

CaliBurger adalah jenama makanan segera daripada California, Amerika Syarikat yang kini sudah menerokai pasaran negara China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Filipina, Eropah dan akan berada di pasaran Sweden serta London pada tahun depan.

Beliau berkata, CaliBurger Malaysia akan menjadi konsep jenama burger konsep premium pertama di Malaysia yang menawarkan produk pada harga berpatutan dan rangkaian restoran perkhidmatan segera (QSR) pertama di Asia Tenggara yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman permainan sosial di dinding restoran.

Menurutnya, syarikat berhasrat menawarkan burger premium dengan kandungan sihat, berkualiti, halal dan harga berpatutan serta menjadikan cawangan CaliBurger sebagai lokasi santai meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Vijayan berkata, syarikat akan fokus kepada pasaran Lembah Klang bagi tahun pertama operasi bertujuan memperkenalkan jenama CaliBurger di pasaran tempatan sebelum bercadang untuk meluaskan pasaran di seluruh negara pada tahun kedua perniagaan.

“Faktor pemilihan lokasi cawangan amat penting dimana kami akan menerokai kawasan yang memiliki kepadatan demografi tinggi dan tumpuan orang ramai bertujuan memperkenal, membangun dan memasarkan CaliBurger kepada umum sekali gus setanding dengan jenama makanan segera lain di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 8:08 AM