CELCOM mahu meneruskan usaha mempertingkat infrastruktur rangkaian secara berterusan pada kos lebih rendah.
CELCOM mahu meneruskan usaha mempertingkat infrastruktur rangkaian secara berterusan pada kos lebih rendah.

PENYEDIA telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd menyasarkan untuk mempertingkat tumpuan tahun ini ke arah mencatat keuntungan dan kecemerlangan operasi menerusi pelaburan pintar bagi menawarkan perkhidmatan serta infrastruktur digital yang terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, ini termasuk meneruskan usaha mempertingkat infrastruktur rangkaian secara berterusan pada kos lebih rendah sambil meninjau bidang pertumbuhan baharu membabitkan pakej produk dan perkhidmatan inovatif dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

“Kami akan turut melabur secara pintar bagi menambah baik rangkaian infrastruktur serta meningkatkan kecekapan.

“Pada masa sama, kami juga berharap dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri bagi rangkaian terbesar di Malaysia dan memberi pelanggan serta nilai terbaik kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan mengenai prospek syarikat itu bagi 2020 di sini, semalam.

Idham berkata, Celcom juga merancang untuk menjana pertumbuhan daripada segmen perusahaan dan kediaman menerusi tawaran produk lebih inovatif seperti permainan dan hiburan realiti maya.

Syarikat itu turut meneruskan kerjasama dengan rakan teknologi dan penyedia platform bagi menyediakan penyelesaian Internet Pelbagai Benda berkualiti tinggi serta menyeluruh dan aplikasi untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana, perbadanan dan kerajaan di negara ini.

“Perjalanan Transformasi Digital Celcom yang berterusan untuk muncul sebagai organisasi digital paling memberi inspirasi di negara ini akan memanfaatkan pelaksanaan aplikasi kecerdasan buatan dan automosi pemprosesan robotik di peringkat dalaman dan pelanggan berkaitan.

“Kami merancang untuk mewujudkan situasi menang-menang yang akan memberi faedah kepada rakyat, kerajaan dan ekosistem digital menerusi usaha pendigitalan di segenap industri di serata Malaysia, disokong oleh pelaksanaan teknologi 5G yang cekap kos menerusi perkhidmatan inovasi baharu,” katanya. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:10 AM