KETUA Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng (kanan) bersama Chou (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
KETUA Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng (kanan) bersama Chou (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur menyasarkan kunjungan pelancong Malaysia ke negara itu meningkat kepada 550,000 orang berbanding 528,019 yang direkodkan tahun lalu.

Pengarahnya, Abe Chou berkata, unjuran itu membuktikan Malaysia adalah pasaran penting bagi negara itu dalam merancakkan industri pelancongan negara kepulauan yang mempunyai tarikan empat musim.

Beliau berkata, sebagai usaha menjadikan Taiwan destinasi terbuka dan mesra pelancong Muslim, negara itu sentiasa meningkatkan tawaran terbaik untuk pelancong segmen berkenaan.

“Kemasukan pelancong Muslim dari Malaysia menunjukkan maklum balas yang baik dan kami berharap jumlah itu meningkat 15 peratus berbanding 10 peratus pada 2017.

“Buat masa ini, ada 170 restoran makanan halal beroperasi di Taiwan dan jumlah itu meningkat selari usaha memenuhi permintaan dari pasaran ini.

“Bagi mencapai sasaran dan mengembangkan asas pelancong, kami melaksanakan pemasaran berdasarkan pasaran Muslim dan China yang berpotensi tinggi,” katanya pada sidang media Pameran MATTA dan Taiwan di sini, semalam.

Pada majlis itu, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Taiwan sebagai Destinasi Pilihan Asia bagi pameran berlangsung pada 7 hingga 9 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pejabat Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur akan mempunyai Pavilion Taiwan pada pameran itu meliputi 20 petak pameran menyediakan promosi dan tawaran menarik kepada pengunjung.

Chou berkata, Taiwan dipilih berdasarkan keistimewaannya yang memiliki tarikan sebagai destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi pada harga mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:31 AM