Shahrizan Salian


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyemak semula cadangan pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan Bursa Singapura (SGX), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Cadangan mewujudkan pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan SGX itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Februari lalu.

Di bawah cadangan itu, hubungan dagangan dua bursa terbabit akan membolehkan pelabur dari Malaysia dan Singapura mengakses pasaran membabitkan gabungan permodalan pasaran lebih AS$1.2 trilion (RM4.7 trilion) dan 1,600 syarikat senaraian awam dengan lebih mudah.

SC dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dilaporkan akan bekerjasama untuk memudah cara penubuhan pautan dagangan pasaran saham antara Bursa Malaysia dan SGX menjelang akhir tahun ini.

Pautan dagangan itu akan membolehkan pelabur menjalankan dagangan dan penyelesaian saham yang disenaraikan di pasaran saham masing-masing dengan lebih mudah dan cekap.

Langkah itu adalah usaha berterusan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) untuk memperkukuh hubungan kewangan seluruh pasaran modal di rantau ini.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri juga ditanya sama ada kerajaan ada membincangkan untuk menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan.

Beliau bagaimanapun menegaskan perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

Kerajaan sebelum itu dilaporkan akan menggantikan Tajuddin, kata dua sumber yang dipetik agensi berita Reuters.

Tempoh perkhidmatan Tajuddin akan berakhir Mac tahun depan, namun kedudukannya akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan Tun Dr Mahathir hari ini, kata seorang penasihat kerajaan yang tahu mengenai perbincangan itu dan meminta supaya enggan dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:31 AM