RANJIT (dua dari kiri) bersama Boon Ngiap (dua dari kanan),  Tipsuda  (kiri) dan Magnus semasa Mesyuarat ACMF ke-22 di Kuala Lumpur, semalam.
RANJIT (dua dari kiri) bersama Boon Ngiap (dua dari kanan), Tipsuda (kiri) dan Magnus semasa Mesyuarat ACMF ke-22 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Lima dana Skim Pelaburan Kolektif diluluskan di bawah Mesyuarat Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) ke-22 bagi membolehkan ia ditawarkan kepada pelabur runcit di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh berkata, dua daripada dana itu diluluskan SC dan tiga oleh Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) manakala satu lagi masih lagi dalam proses kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand (SEC).

“Kelulusan dana itu bukan saja membuka peluang tanpa sempadan kepada pelabur daripada tiga negara, tetapi turut menjadi platform tepat ke arah mewujudkan Pasport Dana ASEAN pada masa hadapan.

“Namun, kita tidak mempunyai sasaran tertentu berkaitan saiz dana yang ditawarkan, tetapi ia adalah gabungan antara pelbagai dana termasuk ekuiti,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SC, MAS, SEC dan Singapore Exchange Ltd (SGX) bagi mewujudkan Rangka Kerja Semakan Seragam bagi Prospektus ASEAN sempena Mesyuarat ACMF ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Urusan (Pasaran Modal) MAS, Lee Boon Ngiap; Timbalan Ketua Setiausaha SEC, Tipsuda Thavaramara dan Ketua Pegawai Eksekutif SGX, Magnus Bocker serta wakil badan serantau.

MoU itu antara lain membabitkan penyertaan Malaysia, Singapura dan Thailand yang juga negara ASEAN pertama menandatangani kerjasama berkenaan bagi pelaksanaan rangka kerja dengan buku panduan terbitan bersama menjelang suku ketiga 2015.

Mesyuarat itu turut meluluskan pelan tindakan lima tahun bermula 2016 dengan tumpuan untuk memberi akses mudah kepada modal dan pelaburan dalam pasaran serantau.

Dalam pada itu, Ranjit berkata, negara anggota yang meluluskan Program Pembangunan Pasaran Modal ASEAN bagi memudahkan pembangunan pasaran modal tempatan adalah platform penting untuk menarik negara anggota lain menyertai ACMF.

“Beberapa negara ASEAN lain dijangka menyertai ACMF menjelang hujung tahun ini antaranya Indonesia dan Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:45 AM