Mohd Amin Harith

Kuala Lumpur: Sejak akhir-akhir ini ramai mentor atau sifu yang memperlihatkan diri mereka sebagai pakar muncul dalam arena pelaburan hartanah.

Kepentingan ilmu menyebabkan banyak orang mencari mereka untuk berguru bagi memastikan mereka tidak tertipu dalam urusan jual beli hartanah di samping membuat pilihan yang tepat sebelum mengikat diri dalam perjanjian pembiayaan yang secara puratanya memakan masa yang panjang mencecah 35 tahun.

Namun begitu rata-rata mentor ini cuma berkongsi mengenai lokasi panas dan kajian pasaran serta tatacara pembelian hartanah, tanpa mendedahkan risiko dan cabaran selepas pembelian hartanah terutama jika hartanah berkenaan dibeli untuk tujuan pelaburan dalam bentuk penyewaan.

Antara cara untuk memberi anda pengalaman dalam menyewakan hartanah dan merasai sendiri cara untuk menjana pendapatan menggunakan modal yang minimum tanpa pembelian hartanah dengan pembiayaan pihak bank dalam tempoh yang panjang adalah melalui sublet (sewa atas sewa) hartanah. Sublet ialah khidmat pengurusan dan penyewaan hartanah milik orang lain.

Cara ini dapat menguji ketahanan anda dari segi fizikal, mental dan emosi serta mempersiapkan diri anda untuk mengurus hartanah milik anda sendiri kelak.

Jika kemudiannya didapati anda tidak sesuai dalam bidang penyewaan, anda masih berpeluang untuk berundur dari medan pelaburan hartanah atau sekurang-kurangnya anda dapat mengubah strategi pelaburan.

Jika anda ingin mengetahui ilmu sublet hartanah dengan lebih lanjut, anda dijemput hadir ke program MYRUMAH anjuran NSTP pada 9 hingga 11 Mac ini di SACC Shah Alam.

Masyarakat umum seharusnya sedar dan jelas sasaran atau matlamat pelaburan hartanah sebelum terjun ke dalam bidang ini.

Jika mereka sedar matlamat mereka, maka sublet hartanah akan menjadi bidang yang terus berkembang kerana tidak semua orang mampu dan mempunyai masa untuk mengurus hartanah mereka sendiri.

Apa salahnya kita berkongsi rezeki dengan pengusaha sublet, pengurus hartanah dan ejen di luar sana, asalkan rumah terjaga dan bayaran sewaan terjamin selain rumah tidak terbiarkan kosong tanpa penyewa. Suatu keadaan menang-menang, bukan?

INFOMaklumat lanjut mengenai Pameran Hartanah MyRumah boleh hubungi 012-6560263 (Haslan) atau e-mel ke [email protected].

**Penulis ialah pakar pengurusan sublet (sewa atas sewa) hartanah dan mewujudkan kumpulan sokongan dalam talian di bawah jenama SUBLETMETHOD.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 12:40 AM