ISMAIL  (dua dari kanan) bersama Abdul Jalil  (dua dari kiri) melancarkan Pameran Hartanah  MyRumah 2017 di Balai Berita Bangsar. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Datuk Seri  Dr Vincent Tiew (kanan) dan Pengasas Bersama LePro System, Vincent Heng.
ISMAIL (dua dari kanan) bersama Abdul Jalil (dua dari kiri) melancarkan Pameran Hartanah  MyRumah 2017 di Balai Berita Bangsar. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Datuk Seri  Dr Vincent Tiew (kanan) dan Pengasas Bersama LePro System, Vincent Heng.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), penganjur pameran hartanah, MyRumah Property Showcase berhasrat untuk menjadi peneraju dalam industri media cetak berkaitan rundingan hartanah.

Ia sejajar dengan langkah NSTP menganjurkan pameran berkenaan yang bukan saja menjadi destinasi untuk membeli kediaman baru, malah membantu orang ramai mendapatkan pelbagai pengetahuan serta idea mengenai pelbagai isu hartanah tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, MyRumah yang menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung menyediakan pelbagai topik perbincangan menarik, antaranya berkaitan pembelian rumah baru dan sekunder, pelaburan serta perundangan pembelian rumah.

Beliau berkata, MyRumah yang diadakan sebanyak empat siri pada tahun ini iaitu dua siri di Balai Berita NSTP Bangsar, Johor Bahru dan Alor Setar memperlihatkan kesungguhan syarikat untuk memperluaskan ilmu hartanah kepada orang ramai.

“Pada masa depan syarikat juga berhasrat mengadakan siri pameran ini di seluruh negara, tetapi ia bergantung kepada beberapa perkara untuk melaksanakannya seperti pihak penganjur dan permintaan orang ramai.

“Pada tahun ini, kita hanya fokuskan kepada empat siri pameran yang meliputi tiga kawasan berbeza dan diharap dengan adanya perkongsian pengetahuan hartanah secara percuma orang ramai dapat memanfaatkannya,” katanya pada majlis pelancaran siri pertama MyRumah, semalam.

Hadir sama melancarkan pameran siri pertama itu Pengerusi NSTP Tan Sri Ismail Omar. Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali.

Pameran tiga hari itu dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 6 petang yang berlangsung semalam hingga Ahad ini.

Hari pertama penganjuran pameran MyRumah mengetengahkan topik forum dan perbincangan yang menarik dengan menampilkan beberapa panel serta penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing.

Antara topik forum yang dikupas ialah bagaimana menjadikan rumah sewa anda sebagai rumah impian - menerusi platform dalam talian dan pengurusan kreatif hartanah/penyewa menerusi kemudahan teknologi.

Selain forum, turut diadakan seminar yang mengupas pelbagai isu menarik seperti faktor keselamatan yang mempengaruhi harga dan menjadi pelabur hartanah yang bijak dan hartanah strata.

Selain itu, kelulusan pinjaman dan mengelak sebarang kesulitan dalam pelaburan hartanah strata turut dibincangkan.

Antara penceramah yang terbabit ialah Elizabeth Siew (peguam hartanah dan komersial), Ivan Chan (Messrs Amir Toh Francis & Partners) dan Adzman Ariffin dari Exastrata Solutions Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:24 AM