BUKU terbaru Azizi dijual di Pameran Hartanah MyRumah.
BUKU terbaru Azizi dijual di Pameran Hartanah MyRumah.

Kuala Lumpur: Pengurusan sewaan yang baik akan memberi nilai tambah kepada pelaburan hartanah individu di mana ia adalah sama penting seperti melakukan pembelian hartanah yang menepati kehendak pasaran.

Penulis dan Penceramah Hartanah, Azizi Ali berkata, pemilihan calon penyewa yang berhati-hati membantu pemilik hartanah dalam mengurangkan kira-kira 90 peratus masalah berkaitan seperti sewa tidak dibayar mengikut tempoh ditetapkan, merosakkan hartanah dan menerima aduan daripada jiran.

“Anda adalah seorang tuan hartanah yang hebat apabila penyewa mampu menangani masalah kecil secara sendirian di mana ia menunjukkan bahawa mereka bangga memiliki anda sebagai tuan hartanah selain turut membayar sewaan tepat pada waktu ditetapkan,” katanya pada sesi ceramah ‘Bagaimana Menjadi Tuan Hartanah Hebat’ bersempena Pameran Hartanah MyRumah di sini, semalam.

Secara lazimnya, tuan hartanah yang hebat mengetahui langkah bagaimana mendapatkan maklumat tepat mengenai calon penyewa dan menganalisa maklumat terbabit untuk panduan amaran.

Tuan hartanah boleh memilih calon penyewa terbaik melalui sikap mereka seperti bercakap benar, berpakaian kemas dan memiliki pekerjaan yang baik.

“Saya akui mungkin susah untuk tuan hartanah mengenalpasti penyewa apabila mereka berada di dalam rumah namun lebih baik anda mengambil langkah berhati-hati daripada mengalami pelbagai masalah pada masa depan,” katanya.

Azizi berkata, perkara utama diperlukan tuan tanah dalam sewaan rumah adalah termasuk perjanjian sewa terperinci, senarai semak pemeriksaan harta dan peti keselamatan.

“Pemeriksaan harta merangkumi segala-galanya berkaitan harta termasuk sinki dapur. Apa yang saya lakukan adalah menjalankan pemeriksaan melalui senarai semak ini bersama-sama dengan penyewa pada hari pertama memasuki rumah dan hari terakhir keluar dari rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:42 AM