KOK Yew (dua kanan) bersama Abdul Jalil (dua kiri) memasukkan replika perasmian Pameran Hartanah MyRumah 2018 sambil diperhatikan Roche (kiri) dan Alfian di Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
KOK Yew (dua kanan) bersama Abdul Jalil (dua kiri) memasukkan replika perasmian Pameran Hartanah MyRumah 2018 sambil diperhatikan Roche (kiri) dan Alfian di Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif dan Nor Farhani Che Ad


PAMERAN Hartanah MyRumah 2018 meneruskan siri keduanya tahun ini dengan menawarkan beberapa projek hartanah menarik di Wilayah Utara kini berlangsung di Amanjaya Mall, Sungai Petani mulai hari ini sehingga Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, pameran kediaman dan hartanah anjuran NSTP yang memasuki tahun ketiga itu diadakan buat kali kedua di Kedah selepas kejayaan penganjuran MyRumah 2017 di Aman Central, Alor Setar.

“Berdasarkan rekod tahun lalu, MyRumah 2017 mencatatkan kunjungan lebih 45,000 pelawat sepanjang empat siri diadakan iaitu di Balai Berita, Kuala Lumpur; The Curve, Damansara; Johor Bahru dan Alor Setar, Kedah dengan mencatatkan sebanyak 68 unit rumah terjual membabitkan nilai keseluruhan RM27 juta.

“Pada siri ketiga di Alor Setar sahaja, MyRumah 2017 mencatatkan kunjungan lebih 10,000 pelawat dengan kejayaan penjualan 15 unit rumah membabitkan nilai jualan keseluruhan melebihi RM4 juta,” katanya pada sidang media di Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew.

Hadir sama, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP Roche Chew dan Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib

Abdul Jalil berkata, pameran kali ini menawarkan pelbagai projek perumahan baharu sekitar kawasan selatan Kedah dengan keluasan lebih besar dan harga lebih rendah berbanding di Seberang Perai atau Pulau Pinang.

Katanya, MyRumah 2018 bukan hanya platform yang menawarkan projek perumahan menarik, tetapi ianya juga sebagai pusat sehenti yang mampu menjawab segala persoalan pembeli berkaitan proses pembelian rumah atau hartanah.

“Penceramah hartanah terkemuka tanah air turut berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan pelbagai manfaat jangka panjang bagi pembeli dan pelabur hartanah tempatan.

“Ini termasuk segala isu berkaitan pinjaman, gadai janji, insurans, pemeriksaan kredit dan banyak lagi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berasa bertuah apabila tiga pemaju hartanah Oriental Investment Berhad (IOB), OSK Properties Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd yang menyertai MyRumah 2017 meneruskan kerjasama pada tahun ini.

“Pengunjung diyakini akan memperoleh banyak manfaat daripada pengelolaan MyRumah 2018 ini, sama ada dalam pembelian rumah keluarga idaman, atau keuntungan daripada pelaburan hartanah hasil informasi berguna yang bakal dikongsi oleh penceramah sepanjang tiga hari ini,” katanya.

Pameran hartanah MyRumah 2018 dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dan masuk adalah percuma.

Untuk mengikuti perkembangan terbaru MyRumah 2018 boleh layari laman sosial Facebook www.facebook.com/MyRumahMPB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 5:32 PM