JOHARI (empat dari kiri) dan  Liew  (tiga dari kanan) menyaksikan Teow  (tiga dari kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Eksekutif Kumpulan Wilmott Dixon, Rick Wilmott  ketika majlis menandatangani MoU EWI dan Wilmott Dixon di Kuala Lumpur, semalam.
JOHARI (empat dari kiri) dan Liew (tiga dari kanan) menyaksikan Teow (tiga dari kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Eksekutif Kumpulan Wilmott Dixon, Rick Wilmott ketika majlis menandatangani MoU EWI dan Wilmott Dixon di Kuala Lumpur, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: Eco World International Bhd (EWI) akan mengadakan usaha sama dengan Be Living Holdings Ltd bagi membangunkan 12 projek di Greater London dan di bahagian tenggara England dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira £2.6 bilion (RM14 bilion).

Ia susulan kejayaan syarikat hartanah tempatan itu mengambilalih 70 peratus kepentingan dalam projek pembangunan berkenaan daripada Be Living, cabang perniagaan pemaju Willmott Dixon Holdings Ltd.

Projek pembangunan hartanah itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat yang mana bagi peringkat pertama akan membabitkan enam projek iaitu masing-masing satu projek di Woking, Brenat dan Westminster, Barnet dan Hounslow serta dua projek di Barking dan Dagenham.

EWI menyasar untuk memuktamadkan pengambilalihan bagi membangunkan projek di peringkat pertama menjelang suku pertama tahun depan.

Projek pembangunan peringkat kedua akan membabitkan masing-masing satu projek di Tower Hamlets, Bromley, Lambeth dan Ealing manakala dua projek di Hounslow.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI Datuk Teow Leong Seng berkata, usaha sama dengan Be Living itu akan meningkatkan kehadiran syarikat di UK sehingga empat kali ganda.

Katanya, ia juga akan menambahkan 8,200 unit kediaman ke dalam portfolio hartanah sedia ada syarikat sebaik saja pengambilalihan 12 projek itu selesai sepenuhnya.

“Dari sudut geografi dan penembusan pasaran, ia meningkatkan capaian syarikat dari Central London di mana produk kami dijual pada harga antara £800 kaki persegi (kps) dan £1,500 kps sehingga ke Greater London dan tenggara England yang harga di antara £500 dan £800 kps,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara EWI dan Willmott Dixon di sini, semalam.

MoU itu disaksikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Yang turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif Eco World International, Tan Sri Liew Kee Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 7:56 AM