TEOW Leong Seng
TEOW Leong Seng
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: EcoWorld International Berhad (EcoWorld International) memperoleh akses ke atas tanah pembangunan utama yang terletak di Sydney untuk membangunkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM436.4 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan 125 unit kediaman pangsapuri bersama komponen runcit yang jangka dilancarkan pada separuh pertama 2019 dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas tarikh pelancaran.

“Kejayaan memperoleh projek berkenaan sekali gus dapat mengembangkan portfolio projek kumpulan yang dilihat semakin berkembang pesat di Australia.

“Kami merancang untuk memberi tumpuan dalam memenuhi keperluan pasaran hartanah domestik yang akan dimulakan dengan pengambilalihan projek Yarra One di South Yarra, Melbourne.

“Ia diikuti dengan pelan untuk membangunkan secara bersama 12 tapak di Greater London dan Tenggara England dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK), Willmott Dixon, melalui Perjanjian Dasar Induk (HoA), baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, kejayaan memperoleh projek terbabit juga sejajar dengan strategi keseluruhan kumpulan ke arah mengukuhkan jenama di mana saja mereka beroperasi.

Tapak projek baru berkenaan terletak di lokasi strategik di Macquarie Park, Sydney, bersebelahan Universiti Macquarie yang mampu menarik ribuan pelajar antarabangsa setiap tahun.

Ia juga terletak berdekatan Daerah Taman Inovasi Macquarie (MIPD) dan kemudahan awam seperti Stesen Kereta Api Universiti Macquarie serta pusat beli-belah Macquarie.

Buat masa ini, terdapat sebuah bangunan sedia ada di tapak projek dengan 30 unit apartmen. Di bawah Akta Pembangunan Skim Strata 2015 (Australia), tapak terbabit boleh dijual atau dibangunkan semula sekiranya 75 peratus pemilik di bawah skim strata bersetuju untuk menamatkan skim strata mereka.

EcoWorld International sudah membuat perjanjian pilihan dengan pemilik 25 unit pangsapuri untuk memperoleh unit itu dengan kaedah penjualan kolektif yang mewakili kira-kira 84.2 peratus untuk membolehkan EcoWorld International meneruskan pengambilalihan semua unit pangsapuri melalui proses pembaharuan strata di bawah akta.

Harga jual beli dianggarkan bernilai RM125.6 juta dan pengambilalihan dijangka selesai menjelang November 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 2:57 AM