MULRYAN (kiri) bersama Liew pada majlis penyempurnaan struktur bangunan Wardian London di London.
MULRYAN (kiri) bersama Liew pada majlis penyempurnaan struktur bangunan Wardian London di London.
hmdigital

LONDON: Eco World International Bhd (EcoWorld International) menyasar menjadi antara pemaju hartanah tempatan terunggul dan sebagai jenama isi rumah terkemuka dalam kalangan penduduk London.

Meskipun syarikat berkenaan boleh dikatakan masih baharu dengan pelancaran projek sulungnya pada 2015, namun ia berkembang pesat secara organik dan menerusi perkongsian.

Ia sekali gus menyaksikan EcoWorld International kini membangunkan 11 projek iaitu sembilan di London dan dua di Australia manakala, tiga lagi bakal dibangunkan di London, Sydney dan Melbourne. Dua lagi lokasi akan diperoleh di London.

Mengulas perkembangan itu Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, dalam tempoh yang singkat, pihaknya menyasar untuk muncul sebagai antara pemaju British terkemuka dalam pelbagai segmen hartanah termasuk hartanah premium, sederhana dan konsep bina-untuk-disewa (BtR).

“Untuk maju, kami tidak boleh dikenali pemaju asing di London, sebaliknya menjadi pemaju tempatan (British), iaitu dengan mengambil hampir keseluruhan pekerja tempatan.

“Kami berpuas hati dengan pencapaian semasa, namun terdapat banyak ruang untuk diperbaiki,” katanya kepada media dalam sesi lawatan ke beberapa projek syarikat berkenaan di sini, baru-baru ini.

Dalam sesi berkenaan, Liew juga mengadakan majlis menyempurnakan struktur pembinaan bagi projek pembangunan Wardian London.

Projek itu yang dilaksanakan menerusi EcoWorld Ballymore, iaitu perkongsiannya dengan pemaju hartanah berpangkalan di Ireland iaitu Ballymore Group. Hadir sama ialah Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ballymore Group, Sean Mulryan.

Mengadap Canary Wharf, menara kediaman 57 tingkat Wardian London sedia untuk siap sepenuhnya pada tahun hadapan. Ia adalah reka bentuk pembangunan kediaman pertama di dunia yang menempatkan ‘sky garden’ dengan tanaman eksotik iaitu di tingkat 53 serta akses kepada persekitaran hijau dan tenang di salah satu kawasan kejiranan paling sibuk di London.

Direka dengan kerjasama Glenn Howells Architects, Wardian London terdiri daripada dua menara kediaman 55 dan 50 tingkat yang mengandungi 766 kediaman termasuk suite, satu dan dua bilik tidur pangsapuri dan penthouse.

“Ia menjadi salah satu pembangunan kediaman yang paling dinanti-nantikan di London, dan saya teruja menyempurnakan struktur pembinaannya, peristiwa penting bagi EcoWorld Ballymore,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:17 AM