MUHAMMAD
MUHAMMAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melantik pihak yang akan menukar mata wang kripto kepada wang fiat sebagai institusi pelapor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2011, mulai tahun depan.

Wang fiat ialah wang yang beredar dalam ekonomi dan diakui sebagai sah diterima oleh kerajaan.

Gabenornya, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menghalang penyalahgunaan sistem itu untuk aktiviti haram dan jenayah selain memastikan kestabilan dan integriti sistem kewangan.

“Kita perlu mempersiapkan diri, seperti yang dijelaskan oleh banyak pakar, mata wang digital akan menjadi norma baru.

“Kemunculan mata wang digital seperti diunjurkan akan memulakan era baru dalam sektor kewangan. Sebagai pihak berkuasa, kita tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Memerangi Pembiayaan Keganasan (CTF) 2017 kali ketiga di sini, semalam.

Muhammad berkata, pemakaian risikan, pembelajaran mesin dan teknologi data maya adalah antara alat yang penting memandangkan urus niaga yang mencurigakan kini semakin rumit dan sukar dikesan.

“Seperti yang kita pelajari daripada Forum Inovasi pada Sidang Kemuncak ini, penggunaan risikan dan data raya berpotensi meningkatkan kecekapan dan ketepatan penilaian yang penting dalam persekitaran dinamik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 3:59 AM