MOHAMMAD (tengah) menunjukkan poster Fiesta Labur PNB 2017 di Kuala Lumpur, semalam.
MOHAMMAD (tengah) menunjukkan poster Fiesta Labur PNB 2017 di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjangka mendaftar 5,000 hingga 6,000 pelabur baru sempena Fiesta Labur PNB 2017 yang akan diadakan 28 September hingga 1 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya Mohammad Hussin berkata, program pelaburan berteraskan hiburan berinformasi itu bermatlamat menghimpunkan semua program Didik Pelabur PNB yang dianjurkan sepanjang tahun di semua negeri.

Katanya, pihaknya menjangka fiesta itu mampu menarik 15,000 pengunjung, sekali gus menyampaikan maklumat berkaitan pelaburan dalam suasana santai bersama peserta dan orang ramai.

“Kami menjangka sepanjang tiga hari acara berlangsung, ia dapat menarik 5,000 hingga 6,000 pengunjung untuk membuka akaun bersama ASNB, sekali gus meningkatkan jumlah pelabur PNB.

“Orang ramai dialu-alukan mengunjungi dan menyertai program Santai Labur yang menampilkan personaliti perniagaan terkemuka seperti usahawan kosmetik popular Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau Datuk Seri Vida serta Datuk Aliff Syukri Kamarzaman,” katanya pada sidang media Fiesta Labur PNB 2017, di sini, semalam.

Fiesta Labur PNB dibuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 9 malam yang turut menyediakan 50 gerai jualan dan pameran di PICC terdiri daripada ejen ASNB, badan beruniform dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mohammad berkata, pihaknya mahu menyampaikan mesej mengenai kelebihan melabur dan berkongsi ilmu asas pelaburan seperti Kuasa Kompaun dan Rule of 72 supaya orang ramai memahami bahawa pelaburan bukan sesuatu yang rumit.

Katanya, kaunter perkhidmatan dan perancangan kewangan ASNB turut dibuka bagi memudahkan pengunjung melabur dan berurusan dengan ASNB serta memberi galakan kepada pelabur mengemas kini maklumat peribadi menggunakan portal myASNB.

Menurutnya, sepanjang fiesta turut diadakan bengkel Kuasai Kewangan Peribadi Anda yang membincangkan empat topik menarik seperti Pembiayaan ASB, Perancangan Pelaburan Emas, Perancangan Pelaburan Hartanah dan Perancangan Harta Pusaka.

Beliau berkata, kemasukan adalah percuma dan pengunjung bertuah berpeluang memenangi hadiah bernilai RM150,000 seperti unit amanah ASNB, barangan elektrik dan gajet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:15 AM