PEMENANG hadiah utama, Farisha Fran Anak Patrick.
PEMENANG hadiah utama, Farisha Fran Anak Patrick.
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) meraikan pemenang Kempen Jom Auto Labur tahun lalu yang bermula pada Oktober hingga Disember 2022.

Kempen kali kelima ini menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM255,000 bagi 719 orang pemenang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzaffar Othman berkata, syarikat berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.

"Ini dapat dilihat menerusi penyertaan positif dalam Auto Labur yang mencatatkan (jumlah) RM292 juta sejak dilancarkan empat tahun lalu. Kempen Jom Auto Labur mencatatkan 6,348 transaksi dengan potongan berjumlah RM2.6 juta.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pemenang yang menyertai Kempen Jom Auto Labur," katanya dalam kenyataan.

Menurut Muzzaffar, kerajaan mengumumkan peningkatan had pelaburan ASB dan ASB 2 dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000.

"Saya ingin menyeru supaya pemegang unit menggunakan peluang ini untuk manfaat diri sendiri serta keluarga," katanya.

MUZAFFAR Othman
MUZAFFAR Othman

Pemenang hadiah utama, Farisha Fran Anak Patrick, yang berasal dari Sibu, Sarawak, berkata, pemotongan minimum Auto Labur sebanyak RM50 adalah mengikut kemampuan dirinya.

Sementara itu, ASNB mengumumkan seramai 10 pemenang hadiah sagu hati berupa Apple iPad 64GB (WiFi+Cellular), 450 hadiah bulanan unit ASB bernilai RM100 setiap seorang, 150 hadiah bonus unit ASB bernilai RM300 dan 100 hadiah khas sempena Penganjuran Minggu 2 Saham Amanah Malaysia 2022.

Menurut PNB, kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) serta pihak ketiga yang layak.

Dalam kenyataan sama, Auto Labur diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2019 yang membantu pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan melalui potongan terus daripada akaun bank pelabur tanpa sebarang caj.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 2:43 PM