SYAHMI (kiri) tidak berasa tercabar dengan kejayaan Hakim (kanan).
SYAHMI (kiri) tidak berasa tercabar dengan kejayaan Hakim (kanan).
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan Hakim Danish Ramli meraih keputusan membanggakan pada pusingan pertama Piala Rookies Red Bull di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal tidak meresahkan seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Bagi Danial yang lebih berpengalaman apabila sudah memasuki tahun kedua bersaing di kejuaraan itu, dia tidak berasa tercabar dengan pencapaian Hakim Danish yang baru beraksi pada tahun pertamanya.

Ketika Perlumbaan 1, Hakim Danish menamatkan saingan di tempat kelima sebelum menaiki podium ketiga di Perlumbaan 2 manakala Danial Syahmi pula menamatkan saingan di tempat kesembilan dan ke-10.

"Saya tak pernah rasa tercabar dengan sesiapa sahaja walaupun ia juga rakan senegara. Saya bangga dengan pencapaian dia (Hakim Danish) sebab dapat naik podium dan bersaing di kelompok depan.

"Bagi saya, dengan cara tunggangan agresif serta berani yang dia tunjukkan, dia sememangnya berhak untuk bersaing di barisan depan. Saya pula perlu perbaiki diri untuk lebih agresif dan lebih berani pada perlumbaan seterusnya di Jerez," katanya merujuk pusingan kedua di Litar Jerez, Sepanyol pada 29 dan 30 April ini.

Danial Syahmi berkata, selepas berakhir pusingan pertama, sasarannya tidak pernah berubah, iaitu mahu menamatkan saingan musim ini dengan menduduki kelompok tiga pelumba terbaik.

"Untuk perlumbaan di Jerez, saya mahu beraksi dengan sebaik mungkin. Saya akan bekerja keras semasa sesi latihan dan cuba bersaing dengan kelompok depan.

"Saya yakin apa yang saya inginkan itu boleh dilakukan. Cuma, saya perlu lebih agresif dan berani," katanya.

Selain beraksi di Piala Rookies Red Bull, Danial Syahmi juga beraksi di saingan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.

Hakim ketika ini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 27 mata manakala Danial Syahmi di kedudukan kesembilan mengumpul 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 5:51 PM