PASUKAN tajaan PETRONAS beraksi.
PASUKAN tajaan PETRONAS beraksi.
Lizam Ridzuan


Sebagai jenama bahan api dan minyak enjin tempatan, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) banyak menyumbang kepada perkembangan dunia sukan permotoran dalam negara dan antarabangsa.

MENGUJI keupayaan dan ketahanan produk Sprinta.
MENGUJI keupayaan dan ketahanan produk Sprinta.

Bermula dengan penajaan pasukan rali tempatan, pembabitan PETRONAS dikembangkan dalam sukan permotoran seperti perlumbaan kereta dan jentera dua roda.

Bermula pada 1991 menjadi titik tolak evolusi sukan permotoran di Malaysia dengan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang dianjurkan di Litar Batu Tiga Speedway, Shah Alam dan Litar Pasir Gudang, Johor.

Penganjuran itu mula menampakkan potensi pada 1992 ketika pelumba tempatan diberi peluang atas tiket ‘wildcard’ untuk berlumba dalam MotoGP dan nama yang cukup menyerlah dalam sukan permotoran ketika itu ialah Kuan Meng Heng dipilih mewakili pasukan dan negara.

Sejak daripada itu, aktiviti permotoran di negara ini semakin meriah ditambah pula PETRONAS terbabit secara langsung untuk perlumbaan cub prix dari 1994 dan sejak 2003 sehingga kini sebagai penaja utama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Sepanjang tempoh itu juga, banyak pasukan permotoran ditaja seperti PETRONAS Sprinta, PETRONAS Sprinta TVK, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ dan PETRONAS - AFB Tech.

Maka selepas itu lahirlah ramai pelumba tempatan yang mendapat inspirasi kejayaan Meng Heng itu melalui aksi cemerlang mereka dalam Kejuaraan Cub Prix seperti Tong Veng Kit, Shahrun Nizam Tamin, Soong Chee Kieong, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan ramai lagi.

Pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang siap pada 1999 dengan kemudahan bertaraf antarabangsa serta pelbagai acara perlumbaan dianjurkan di situ menyemarakkan lagi semangat pelumba untuk bersaing dan muncul juara antara elemen utama yang menjadi pencetus dalam perkembangan ini.

Pada tahun 2000, Shahrol Yuzy diberi peluang menggalas tanggungjawab sebagai pelumba tunggal negara yang bersaing sepanjang musim perlumbaan MotoGP bersama pasukan PETRONAS Sprinta Team TVK dalam kategori 250cc menjadi impian kepada pelumba muda yang lain untuk mengikut jejak langkahnya.

Ini terbukti dengan pelumba muda Zulfahmi Khairuddin yang juga anak didiknya dalam pasukan cub prix terpilih sebagai pelumba ‘wildcard’ bagi kategori 125cc dalam MotoGP pada 2009 dan pelumba Malaysia pertama menaiki podium dalam saingan Moto3.

Selain MotoGP dan cub prix, pelumba-pelumba tempatan juga terbabit dalam saingan serantau seperti Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Kejuaraan CEV, Asia Dream Cup dan Asia Talent Cup.

Medan perlumbaan ini juga dijadikan platform ujian teknologi dan pembabitan sumber manusia melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahan api serta minyak enjin Sprinta untuk tujuan prestasi maksimum.

Ia juga menjadi pentas untuk melahirkan ramai pelumba dan juruteknik dalam kejuruteraan automotif dengan keupayaan untuk menggabungkan pengetahuan teknikal serta jentera perlumbaan dan bahan api PETRONAS bagi pasukan yang bertanding.

Manfaat yang boleh diperolehi daripada pembabitan itu bukan sahaja pendedahan dan pengalaman kepada pelumba malah kepada pasukan, jurutera perlumbaan, kru, pemindahan teknologi, pembangunan produk baru dan pembangunan bakat.

Bagaimanapun, sebelum nama-nama besar ini mencipta nama unit PETRONAS Motorsport banyak memainkan peranan dalam pembinaan imej dan jenama melalui Program Pembangunan Bakat PETRONAS (PTDP) dalam mencungkil bakat dan potensi.

Antara pelumba yang berjaya dilahirkan dalam program ini ialah Hafizh Syahrin Abdullah memulakan karier sebagai pelumba seawal usia 13 tahun dalam perlumbaan pocket bike sebelum beralih ke cub prix dan kini sedang mencipta nama dalam Moto2 dengan beberapa keputusan podium berjaya dicatatkan.

Untuk meneruskan momentum serta pencarian bakat masa hadapan dalam sukan permotoran, kempen Pengejar Impian dicipta untuk suntikan motivasi dan semangat kepada golongan sasar.

Ia disediakan dalam siri penceritaan tentang kisah mereka yang terbabit dalam dunia perlumbaan cub prix akan usaha, bakat dan pengalaman serta perjalanan dalam dunia motosikal juga sumbangan PETRONAS dalam menjadikan impian mereka menjadi realiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:54 AM