QABIL Irfan sertai ESBK di Sepanyol.
QABIL Irfan sertai ESBK di Sepanyol.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan bakal memperoleh pendedahan baharu beraksi di pentas antarabangsa apabila menyertai Moto4 di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, ia inisiatif baharu yang diambil pihaknya untuk mengembangkan lagi karier Qabil.

"Selepas kejayaannya di Siri MiniGP Malaysia dan juga Finals Dunia, kami melihat bahawa pada usia 12 tahun ini, Qabil sudah bersedia untuk mengambil cabaran dalam kelas Moto4 di litar Eropah.

"Ini memberikan peluang baginya untuk mendapatkan pengalaman awal dalam suasana serta persaingan dunia dua roda di Eropah," katanya mengenai pelumba berusia 12 tahun itu.

Qabil akan beraksi bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing sebelum menyertai ujian pra musim di Litar Jerez pada 16 dan 17 Mac ini.

Perlumbaan pusingan pertama musim dijadual berlangsung di litar sama pada 6 dan 7 April ini sebelum saingan seterusnya beralih ke Litar Valencia pada 1 dan 2 Jun.

"VHC Frando sebuah pasukan yang bersedia bekerjasama dengan Qabil dan mereka mempunuai rekod prestasi cemerlang dalam kelas Moto4.

"Saya yakin pengalaman diperoleh Qabil dalam kejuaraan ini akan menjadi aset berharga bagi perkembangan kariernya.

"Kami sebagai pasukan sokongan, akan sentiasa bersama Qabil sepanjang perjalanan ini dan saya sendiri akan turut hadir dalam beberapa perlumbaan untuk memantau kemajuannya di kejuaraan ini," kata Zulfahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 4:25 PM