ZULFAHMI  membantu seorang pelumba muda.  FOTO  SIC
ZULFAHMI membantu seorang pelumba muda. FOTO SIC
Saiful Affendy Sapran

BEKAS pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin akan sekali lagi menurunkan ilmunya pada pusingan kedua Kejohanan SIC MiniGP di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), hujung minggu ini.

Seramai 21 pelumba dalam lingkungan usia lapan hingga 13 tahun akan bersaing lagi selepas saingan pembuka tirai bulan lalu menyaksikan pelumba dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan dan Muhammad Hakim Danish Ramli masing-masing mengungguli kelas 110cc dan 160cc.

Zulfahmi yang juga pengurus pasukan ZK Racing yang diberi tanggungjawab menguruskan kejohanan itu memberi jaminan aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan.

"Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan pusingan kedua ini. Saya harap pelumba cilik dapat berlumba dengan lebih baik dan lebih laju pada Ahad ini. Seperti biasa, aspek keselamatan amat dititikberatkan supaya semuanya berlangsung dengan lancar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berharap kesemua pelumba dapat meningkatkan kemahiran mereka mengendalikan jentera perlumbaan.

"Ia program akar umbi untuk pelumba cilik ini membina keyakinan mereka pada jentera lumba. Apa yang saya ingin lihat mereka perlu tekun, dedikasi dan bekerja keras untuk meraih tahap seterusnya," katanya.

Kejohanan itu akan berlangsung dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan tanpa kehadiran penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:22 PM