ZULFAHMI perlu ambil masa untuk cari keserasian dengan jentera dan litar.
ZULFAHMI perlu ambil masa untuk cari keserasian dengan jentera dan litar.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Bukan satu tahun saja tapi sekurang-kurangnya tiga musim.”

Demikian pandangan bekas pelumba negara Shahrol Yuzy Ahmad Zaini ketika mengulas perancangan bekas pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin untuk beralih ke saingan Supersport Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim depan.

Jelas Shahrol, beliau menyokong hala tuju Zulfahmi, namun jelasnya, sekiranya pelumba kelahiran Banting, Selangor itu sekadar beraksi selama satu musim, ia boleh dianggap membuang masa.

“Sebab proses peralihan daripada Moto3 ke saingan Supersport sangat jauh bezanya. Dia bukan saja perlu mempelajari jentera kelas itu, tapi juga litar yang mana hampir separuh litar WSBK berlainan berbanding MotoGP (Kejuaraan Motosikal Dunia).

“Kalau peluang untuknya beraksi dalam tempoh panjang, saya memang sokong. Tapi kalau sekadar setahun dua, dia akan berdepan masalah.

“Sebab itu saya tegaskan dia perlu sekurangnya-kurangnya tiga musim. Tahun pertama mempelajari litar dan motosikal dan tahun kedua cuba bersaing dalam kalangan 10 terbaik,” katanya.

Jelas Shahrol, berbekalkan pengalaman luas serta usia semakin meningkat, sebenarnya setiap perlumbaan bukan lagi proses pembelajaran untuk Zulfahmi.

“Dia cuma perlu mengawal jentera lebih laju ketika bersaing dalam WSBK,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Zulfahmi mengesahkan kemungkinan beraksi dalam saingan WSBK musim depan selepas perbincangan sedang dilakukan bersama sebuah pasukan dari luar negara.

Zulfahmi beraksi selama enam musim pada saingan MotoGP, tetapi berikutan prestasi kurang memberangsangkan sejak beberapa musim lalu, dia gagal meneruskan kariernya dalam kejohanan berprestij itu dengan pasukan terakhir diwakilinya SIC Racing Team tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 8:48 AM