KHAIRUL ketika ini cemerlang memimpin kelas SS600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan mengumpul 163 mata.
KHAIRUL ketika ini cemerlang memimpin kelas SS600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan mengumpul 163 mata.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas meninggalkan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada 2020, pelumba sensasi negara, Khairul Idham Pawi kini kembali ke pentas dunia menerusi Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP, pada tahun depan.

Khairul atau SuperKIP yang pernah mencipta sensasi menaiki podium pertama dua kali dalam saingan Moto3 pada 2016, akan beraksi bersama Petronas Mie Racing Honda bersama-sama rakan gandingannya yang juga bekas pelumba Moto3 dari Jepun, Kaito Toba.

Pelumba berusia 25 tahun itu berkata, dia akan menggunakan segala pengalaman dan kelebihan yang dimilikinya sepanjang beraksi di Moto3 dan Moto2 apabila beraksi dalam kelas WorldSSP pada tahun depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dalam Pasukan Petronas MIE Racing Honda kerana memberi peluang untuk bersaing dalam saingan WorldSSP.

"Saya mengenali pasukan di Jerez, semasa pusingan akhir musim 2023 dan semua pihak sangat membantu sepanjang setiap sesi.

"WorldSSP ialah kategori ultra kompetitif dengan banyak pelumba pantas. Beralih dari saingan Moto2 adalah satu cabaran besar, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan bersaing dengan pelumba lain.

"Saya tahu kebanyakan litar semasa di Moto3 dan Moto2, tetapi terdapat beberapa litar yang tidak pernah saya berlumba.

"Ia pasti menyukarkan, tetapi saya akan cuba menyesuaikan diri dengan cepat," katanya.

Khairul berkata, misinya pada tahun depan adalah untuk konsisten meraih mata dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi sepanjang berlangsungnya perlumbaan.

Menurutnya, dia sangat teruja dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Petronas sekali lagi, sama seperti dilaluinya pada 2019 dan 2020.

Menurutnya, ia adalah impian yang menjadi kenyataan apabila dapat bekerjasama dengan nama besar dan dia akan bekerja keras untuk mencapai keputusan terbaik.

Khairul ketika ini cemerlang memimpin kelas SS600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan mengumpul 163 mata bersama pasukan Boon Siew Honda Racing ketika saingan tinggal berbaki satu pusingan lagi.

Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang sebelum ini beraksi di kelas WorldSSP bersama Petronas MIE Racing Honda, dinaikkan pangkat beraksi dalam kelas utama, WorldSBK musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:09 PM