AZROY Hakeem bakal membuat penampilan keduanya di GP Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZROY Hakeem bakal membuat penampilan keduanya di GP Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Sepang: Pasukan PETRONAS MIE Racing RW bakal lebih 'mengaum' di pentas Grand Prix (GP) Malaysia 2023 apabila menggunakan jentera Moto2 yang diubahsuai mengikut spesifikasi terkini.

Pengurus pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata, kedua-dua pelumba pasukan iaitu Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman dijadual beraksi dengan menggunakan enjin baharu termasuk casis terkini, Kalex 2023.

Beliau berkata, PETRONAS MIE Racing RW yang beraksi atas tiket wildcard ini juga akan diperkuatkan dengan bantuan pasukan yang menyertai saingan Kejuaraan Sepanyol (CEV) bagi memastikan jentera berada di tahap terbaik pada hari perlumbaan.

"Untuk wildcard Moto2 ini, kita menggunakan peralatan terkini dan enjin yang dibekalkan penganjur perlumbaan juga yang terkini. Cumanya pada ketika ini, kita perlu lebih menggunakan teknologi elektronik yang ada ini untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Pada masa sama, kita dapat maklumat daripada kumpulan yang membekalkan enjin Moto2 ini mengenai bagaimana cara untuk dapatkan prestasi yang terbaik. Jadinya, pasukan akan menggunakan setiap maklumat yang diterima ini, baik dari sudut elektronik, casis, enjin supaya semua pakej ini dapat berfungsi dengan baik untuk pelumba memberikan prestasi terbaik.

"Pasukan yang ada ini menyertai Kejuaraan Sepanyol, mereka mempunyai data untuk pelumba mereka dan untuk di Sepang pula, kita boleh menggunakan data dari Kalex sendiri dan kita akan gunakan data yang diberikan mereka," katanya.

Azroy bakal membuat penampilan keduanya di GP Malaysia selepas menamatkan saingan tahun lalu di tempat ke-22 manakala Helmi akan membuat penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia kali ini.

Selain itu, mengulas mengenai pemilihan pelumba wildcard ini, Razmin berkata, kedua-dua mereka dipilih berdasarkan potensi ditunjukkan mereka ketika di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

"Pada masa ini, kita harap Azroy dan Helmi boleh menghabiskan perlumbaan. Ini kejohanan dunia... bukan mudah buat mereka untuk dapatkan mata.

"Mereka perlu dapat lebih masa tunggangan, dapat peluang bersaing dengan pelumba bertaraf dunia ini dan selepas itu barulah boleh meletakkan sasaran dapatkan mata.

"Namun untuk perlumbaan ini, harap mereka dapat kumpul pengalaman sebanyak mungkin dan selepas itu, barulah boleh merangka aturan perjalanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 5:59 PM