HELMI tekad pamer tunggangan lebih baik esok. FOTO ASYRAF HAMZAH
HELMI tekad pamer tunggangan lebih baik esok. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Sepang: Pelumba wildcard negara Helmi Azman yakin dia mampu mencatatkan masa sepusingan lebih baik selepas mengakhiri hari pertama Grand Prix (GP) Malaysia 2023 dengan catatan 2 minit 10.807 saat (s).

Catatan itu dilakukan pelumba PETRONAS MIE Racing RW pada sesi latihan bebas kedua kelas Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang sekali gus memperbaiki catatan dilakukannya pada sesi latihan pertama, 2'12.225s pada sebelah pagi.

Helmi berkata, catatan itu boleh diperbaiki lagi pada sesi seterusnya esok sekali gus menyamai catatan dilakukannya ketika beraksi bersama jentera di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

"Saya nak buat yang lebih baik daripada hari ini. Saya akan melihat, meneliti data dan kekurangan yang perlu ditambahbaik lagi. Sasaran minggu ini, ramai yang meletak sasaran tinggi kerana beraksi di laman sendiri.

"Namun, kita tak boleh letakkan sasaran sebegitu kerana ini Kejuaraan Dunia dan tidak sama seperti ARRC ataupun Cub Prix... ini perlumbaan di tahap yang tinggi. Jadi bagi saya, hanya nak habiskan perlumbaan dan perbaiki catatan masa sepusingan, itu sudah menggembirakan buat diri saya," katanya.

Selain Helmi, turut beraksi bersama pasukan adalah Azroy Hakeem Anuar yang menamatkan sesi hari ini di tempat ke-31 dengan catatan terbaiknya adalah pada sesi latihan bebas kedua, 2'10.084s.

"Ada peningkatan sekiranya dibandingkan catatan masa sepusingan di sesi latihan bebas pertama dan kedua. Namun saya masih belum berpuashati kerana di sini (Sepang), saya boleh melakukan 2'10.000s ke bawah dengan mudah menggunakan jentera CBR.

"Semua lancar tetapi ada tempat yang perlu dibuat pelarasan... tak banyak tetapi saya sendiri pun kena memperbaiki gaya tunggangan dan tadi pun pelumba berpengalaman Hafizh Syahrin ada membantu.

"Hafizh menasihatkan saya untuk perbaiki posisi badan dan bila masa sesuai untuk menekan brek. Semua itu banyak membantu,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 8:14 PM