PRESIDEN Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengiktirafan (sanction) daripada badan induk sukan adalah antara cara untuk menentukan acara sukan dijalankan mengikut piawaian, peraturan serta garis panduan ditetapkan.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang mengakui pengiktirafan daripada badan induk sukan bertujuan menentukan pertandingan diadakan secara adil untuk semua pihak.

"PSBWPKL terpanggil untuk berkongsi pengetahuan mengenai isu 'sanctioning' (pengiktirafan) badan sukan. Untuk makluman mana-mana jenis sukan tidak terlepas daripada proses pengiktirafan ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, di dalam acara sukan bermotor yang diiktiraf, dua atau lebih pengadil (steward) akan ditugaskan untuk mengadili serta memastikan pertandingan dianjurkan mengikuti peraturan serta undang-undang ditetapkan.

"Sebagai contoh, penganjur mendapati Ahmad bersalah kerana tidak mematuhi peraturan teknikal di dalam Race Saga Cup.

"Bagaimanapun disemak oleh steward, keputusan memihak kepada Ahmad oleh kerana penganjur tidak menyatakan dengan jelas peraturan teknikal yang memungkinkan Ahmad mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai peraturan itu.

"Jika pertandingan tidak diiktiraf, siapa yang akan menjadi pengadil? Adakah pengadil mempunyai kredibiliti serta pengetahuan yang cukup untuk mengadili pertandingan dengan penuh wibawa, adil dan saksama tanpa memihak kepada mana-mana.

"Selain itu, salah satu tatacara pengiktirafan ialah memastikan keadaan litar atau trek berada di dalam keadaan yang selamat. Lazimnya badan induk sukan akan menghantar wakil pemeriksa (track inspector) bagi meneliti setiap inci tempat pertandingan itu akan diadakan.

"Pemeriksaan secara menyeluruh dan merangkumi setiap aspek tempat pertandingan dan bukan hanya keadaan litar.

"Sebagai contoh papan pengiklanan penaja di tepi litar, pemeriksa akan memastikan papan penajaan itu jauh dari litar dan tidak merangkumi trajektori (laluan melengkung) pelumba sekiranya pelumba jatuh.

"Jika tiada kawasan atau tempat yang luas di sekitar kawasan trajektori (laluan melengkung) jatuh pelumba, pemeriksa akan memastikan papan penajaan diperbuat daripada bahan mudah pecah sekiranya pelumba terjatuh dan terkena papan itu.

"Ini akan melindungi pelumba daripada mendapat kecederaan serius," katanya.

Beliau berkata, banyak lagi perkara utama yang perlu diteliti untuk pengiktirafan sesuatu pertandingan.

Menurutnya, oleh sebab itu, pihak insurans hanya akan melindungi acara sukan yang diiktiraf oleh badan sukan berkanun sahaja.

Katanya, acara sukan bermotor adalah sukan yang berisiko tinggi dan berbahaya.

"Bagaimanapun pengiktirafan aspek yang penting bagi memastikan keselamatan penonton, petugas dan juga pelumba terjamin.

"Semoga perkongsian daripada persatuan ini dapat memberi sedikit penjelasan mengapa sesuatu pertandingan sukan bermotor perlu mendapat pengiktirafan badan sukan," kata Shahrol Yuzy.

Sebelum ini, PSBWPKL mengeluarkan kenyataan agar Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan jawatankuasa siasatan berkenaan kejadian yang berlaku di Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 selepas peserta, Hattem Rashidi maut dalam kemalangan awal pagi Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:39 PM